Ketua pembangkang DUN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kajian yang menonjolkan anak bekas perdana menteri Datuk Mukhriz Mahathir sebagai bakal calon menteri besar memberi "petunjuk positif" kepada BN untuk merampas semula negeri itu daripada PAS.

"Komponen dan ramuan kajian sudah tentu berasaskan kepada fakta dan analisa dari semua aspek dan kumpulan masyarakat," kata bekas menteri besar Kedah itu lagi dalam satu kiriman SMS kepada Malaysiakini.

umno supreme council special meeting 260809 mahdzir khalidBeliau bagaimanapun tetap mengingatkan bahawa keputusan untuk memilih calon menteri besar merupakan hak mutlak perdana menteri.

"BN mesti terus bekerja kuat dan tidak boleh selesa. Tentang jawatan MB hak mutlak perdana menteri. Kemenangan BN mesti menjadi keutamaan pemimpin BN semua peringkat sebelum bercakap mengenai jawatan," katanya.

Ketua bahagian Umno Jerlun Datuk Abu Hassan Sharif dan juga ketua bahagian Sungai Petani Datuk Firdaus Zakaria turut berkongsi pandangan bahawa BN perlu mengutamakan kemenangan sebelum bercakap soal jawatan MB.

Namun, kedua-dua pemimpin bahagian itu tetap menyeru kepada pemimpin akar umbi Kedah supaya memberi kerjasama kepada Mukhriz dan juga kepada ketua perhubungannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sekiranya individu berkenaan dipilih menjadi MB.

NONEMengikut kajian UUM itu, Ahmad Bashah menduduki tempat kedua paling popular untuk jawatan MB Kedah, diikuti ketua penerangan Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom manakala Mahdzir di tempat keempat.

Abu Hassan (kiri) ketika dihubungi berkata, beliau berharap supaya pemimpin Kedah akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti sekiranya Mukhriz atau Ahmad Bashah dipilih sebagai MB.

Beliau turut mengingatkan supaya semua pemimpin Umno menghindari daripada tindakan "mahu melawan atau menjatuhkan satu sama lain" berhubung perkara tersebut.

"Yang penting kita mentadbir negeri dan memberi khidmat terbaik untuk rakyat. Itu niat kita... Kita perlu memberi kerjasama untuk menarik sokongan dan pakat-pakat buat kerja," katanya kepada Malaysiakini.

Firdaus Zakaria pula berkata gandingan dua pemimpin itu merupakan "gandingan yang tepat" untuk menerajui Kedah sekalipun keputusan akhir terletak kepada pucuk pimpinan parti.

NONEFirdaus juga berpendapat bahawa Jamil (kiri) dan Mahdzir merupakan tokoh yang dilihatnya lebih "layak dan sesuai" diletakkan di peringat parlimen atau kerajaan pusat.

Sementara itu, ketua bahagian Pokok Sena Datuk Ahmad Lebai pula berulang-ulang kali menegaskan bahawa calon BN dan parti perlu menang terlebih dahulu di negeri itu sebelum memikirkan mengenai calo menteri besar mereka.

"Fokus pilihan raya dulu. Calon MB (ditetapkan) kemudian oleh pucuk pimpinan," tegasnya yang enggan mengulas panjang lebar.