HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Julai 2012

Kajian penambahbaikan polis dalam bajet Pakatan

Hazayani Zakaria,
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan memasukkan kajian mengenai penambahbaikan pasukan polis dalam bajet 2012 mereka bagi mengemukakan satu kaedah yang dapat menyelesaikan masalah peningkatan jenayah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, kajian itu penting kerana polis seolah-olah kekurangan tenaga untuk membanteras jenayah.

"Kita lihat hari ini gambaran bukan sahaja persepsi tapi realiti, kedudukan jenayah semakin parah sehingga kerajaan terpaksa mencadangkan Rela untuk membantu polis menjaga tempat-tempat yang selalunya berlakunya jenayah.

"Ini menggambarkan jenayah itu parah dan semacam tidak cukup tenaga untuk mengendalikan perkara ini," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersama wakil DAP dan PKR di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Mustafa juga berkata, peratusan perbelanjaan kerajaan dari tahun 2010 hingga 2012 dalam bidang keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam lebih tinggi berbanding perbelanjaan untuk penyiasatan jenayah.

Peratusan perbelanjaan untuk keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam ialah 42.27 peratus manakala untuk penyiasatan jenayah sebanyak 72.45 peratus.

"Dari segi angka yang kita boleh lihat sebahagian besar tenaga untuk keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Sebahagian perbelanjaan itu boleh dimanfaatkan untuk penyiasatan jenayah," katanya.

Kajian itu akan turut disertai Bekas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Datuk Fauzi Shaari.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok, Setiausaha Antarabangsa DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke.

Tiada ulasan: