HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2012

Ahli Parlimen Tuaran isytihar keluar BN, sokong Pakatan Rakyat

KEADILAN DAILY

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing mengisytihar keluar Barisan Nasional (BN) dan menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin utama Pakatan dan bakal Perdana Menteri Malaysia ketujuh.

Bercakap pada pelancaran Angkatan Perubahan Rakyat (APS) di Restoran Singgahgora, Tuaran di sini, Bumburing percaya seluruh masyarakat Kadazan-Dusun-Murut akan menumbangkan kerajaan BN Sabah.

Beliau juga akan menjelajah ke seluruh negeri untuk mengajak rakyat melakukan perubahan kerajaan di Sabah, selain di peringkat Persekutuan.

Situasi ini pasti menggerunkan regim Umno berikutan dua pemimpin berpengaruh di Sabah dalam dua hari berturut-turut, meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Semalam, Timbalan Menteri Kabinet, Datuk Seri Lajim Ukim meletak semua jawatan dalam Umno dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat, diikuti Wilfred pada hari ini.

Wilfred juga adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), sebuah parti komponen BN Sabah.

Sebelum ini, beliau pernah menyertai parti Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (PASOK) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau juga adalah Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan Tengku Razaleigh Hamzah pada 22 Julai 2011.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2008, Wilfred menang dengan undi sebanyak 17,645 menewaskan calon KEADILAN, Ansari Abdullah dan calon Bebas, Ajin Nazin Gagah.

Tiada ulasan: