HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Julai 2012

KEADILAN bantu selamatkan perobohan kuil oleh DBKL

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : KEADILAN membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mahu meroboh kuil menggunakan undang-undang yang telah dimansuh.

Laporan itu dibuat oleh peguam yang juga Naib Presiden KEADILAN, N Surendran bersama wakil Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman pada Jumaat lalu.

Dalam laporan oleh Setiausaha Kuil, W Nalini menyebut, pada pagi Khamis lalu, lebih kurang 100 anggota DBKL datang untuk meroboh sebahagian kuil yang terletak di Jalan P Ramlee itu menggunakan Peraturan-peraturan Perlu (Pembersihan Setinggan) 1969.

“Sekali lagi kerajaan Umno BN mengganggu dengan cuba merobohkan kuil, dan KEADILAN mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu kerana mereka (kerajaan) selaku pengamal undang-undang tapi mereka yang melanggarnya,” tegas Surendran.

Biro Penerangan KEADILAN Pusat, K Gunasekaran yang turut hadir menempelak Timbalan Menteri Wilayah, Datuk M Saravanan yang kononnya berjanji tidak akan meroboh mana-mana kuil lagi selepas berbuat demikian di Kepong sebelum ini.

“Itulah ‘Janji Ditepati’ yang digunakan Umno, janji auta semata-mata. Bahkan (26 Julai) langsung tidak ada wakil MIC yang datang untuk membela nasib kuil tersebut malah bertindak sebagai jurucakap DBKL pula,” sindir beliau yang lebih dikenali sebagai Chegusekar.

Turut hadir, Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Rozan Azen Mat Rasip dan Pengerusi Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman, R A Balasubramaniam.

“Kuil ini sudah berusia lebih 100 tahun. Kami tak minta pampasan atau apa-apa, kami cuma mahu beribadah, malah kami sudah dua kali buat tinjauan dan mendapati tanah kami tak masuk kawasan orang lain pun,” kata Balasubramaniam.

“Saya harap Perdana Menteri boleh beri perhatian pada isu ini dan gazetkan tanah yang kecil ini untuk pihak kuil.

“Pada KEADILAN yang sudi membantu, kami ucapkan banyak-banyak terima kasih,” katanya lagi.

Tiada ulasan: