HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2012

Calon MB Kedah: 'Aura' Mukhriz ada kelebihan

NURUL FATIHAH SULAINI

Datuk Mukhriz Mahathir
Datuk Mukhriz Mahathir
 
 
ALOR SETAR - Aura kepimpinan yang ada pada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir menyebabkan rakyat Kedah tidak ragu-ragu memilihnya sebagai calon Menteri Besar jika Barisan Nasional (BN) merampas kembali tampuk Kerajaan Negeri.

Kini, Mukhriz juga memegang jawatan Timbalan Pengerusi Umno Kedah.

Ketua Umno Jerlun, Datuk Abu Hasan Sarif berkata, kewibawaan Mukhriz, yang juga ahli Parlimen, atas kapasiti pemimpin bukan sahaja dapat memenangi hati golongan muda tetapi melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Mungkin dengan meletakkan Mukhriz sebagai calon MB sokongan rakyat terhadap BN akan bertambah kuat.

"Kita sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama serta sokongan penuh terhadapnya.

“Bagaimanapun segalanya tertakluk kepada keputusan presiden (parti Datuk Seri Najib Tun Razak), siapa yang dipilih kita sokong,” kata beliau kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai kajian Universiti Utara Malaysia (UUM), 69 peratus responden memilih Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah sebagai calon Menteri Besar jika BN menerajui Kedah, beliau menerima kebenaran itu.

Abu Hasan berkata, kajian yang dibuat UUM itu juga dapat menjadi penanda aras terhadap kerja-kerja dilakukan oleh BN untuk melihat potensi rakyat memilih BN atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Dalam pada itu, beliau meletakkan 70 peratus keutamaan rakyat terhadap pemilihan calon parti berbanding hanya 30 peratus dari aspek parti.

“Jika dulu rakyat pilih parti untuk menentukan kerajaan mana yang layak memerintah. Tetapi sekarang rakyat lebih memilih calon berkaliber, berpontensi serta mempunyai aura dapat menarik sokongan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, soal siapa yang layak menjadi calon MB terserah kepada presiden parti.

Selalunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terbaik akan dipilih menjadi calon Menteri Besar, katanya.

“Saya tidak mahu mengulas panjang mengenai isu ini kerana bimbang boleh menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti. Sepatutnya semua bersatu untuk terus memberi sokongan kepada Pengerusi Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah bagi merampas semula Kedah.

“Bagi saya keutamaan parti dan calon sama penting untuk meraih sokongan pengundi. Rakyat akan memilih parti mana yang lebih berwibawa serta kriteria calon boleh menawan hati mereka,” katanya.

Nawawi berkata, rakyat semakin bijak untuk menilai kepimpinan seseorang pemimpin dengan menggunakan pelbagai saluran maklumat termasuk internet sebelum membuat pelbagai analisis mengenainya.

“Kita tidak boleh selesa dengan hasil kajian yang dikeluarkan sebaliknya perlu berusaha lebih gigih untuk mencapai kemenangan termasuk meningkatkan gerak kerja dengan lebih berkesan,” katanya.

Ketua Umno Sik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, setiap pemimpin dalam BN tidak boleh berpuashati dengan hasil kerja sebaliknya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan rakyat memilih BN.

Sementara itu, Mukhriz ketika dihubungi enggan mengulas mengenainya.

Tiada ulasan: