Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Selepas menghadapi pelbagai kritikan dan
bantahan banyak pihak termasuk Pakatan Rakyat sejak minggu lalu,
akhirnya kerajaan memutuskan menarik balik logo Hari Kemerdekaan ke-55
yang menampilkan tema yang diambil daripada slogan BN “Janji Ditepati”.
Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim
beralasan, “Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak
setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi.”
Dalam kenyataannya semalam, Rais menjelaskan, tiada logo rasmi
digunakan bagi sambutan kemerdekaan tahun ini, melainkan logo 1Malaysia
sepertimana sambutan pada tahun lepas.
Beliau berkata, sambutan Hari Kemerdekaan kali ini menggunakan tema “55 Tahun Merdeka Janji Ditepati”.
Pelbagai pihak mempersoalkan mengapa logo sambutan Hari Kemerdekaan
ke-55, yang memaparkan gabungan logo 1Malaysia, bendera Malaysia dan
tulisan “55 Merdeka Janji Ditepati”, dihasilkan seperti melepaskan batuk
di tangga dan tidak mempunyai nilai-nilai seni yang tinggi.
Selain logo, turut dikritik lagu tema serta temanya, “Janji Ditepati”.
Sehingga kini, lagu dan slogan itu masih dikekalkan.
Lagu tema propaganda BN
Angkatan Muda KEADILAN (AMK), menyifatkan lagu ‘Janji Ditepati’ yang
disiarkan kepada umum ternyata bahan propaganda pemerintah bagi meraih
undi dalam pilihan raya umum akan datang.
Menurut Timbalan Ketua Penerangannya, Najwan Halimi, tindakan
terdesak itu lebih parah apabila tidak menggambarkan sambutan Hari
Kemerdekaan sebaliknya sekadar memuja parti pemerintah.
“Pendengar yang bijak pasti akan dapat memahami bahawa lirik ini
secara tersirat bertujuan memerangkap minda khalayak seolah-olah Umno BN
(kerajaan sekarang) berjaya menepati janji dan kini telah sampai
masanya rakyat (pendengar) supaya mengundi Umno BN dalam PRU akan datang
sebagai membalas budi atas janji-janji tersebut.
“Lantaran itu, timbul persoalan apakah kewajaran bagi sesebuah lagu
yang seharusnya bertemakan penghayatan kemerdekaan diolah sebagai medium
propaganda picis dan ‘ditransformasikan’ menjadi lagu kempen untuk
meraih undi dalam pilihan raya?,” katanya pada kenyataan.
Kata Najwan, lagu tersebut bukan sahaja tidak menggambarkan matlamat sebenar, tetapi bertujuan memesongkan minda rakyat.
“Malang bagi lagu ini kerana bukan hanya susunan muzik dan melodinya
yang ‘cincai’ dan tidak teratur, bahkan apa yang jelas adalah lirik lagu
ini secara tersurat bersifat propaganda picisan dan bertujuan untuk
memesongkan minda rakyat dari menghayati matlamat sebenar sambutan
ulangtahun kemerdekaan negara.
“Pendengar kemudiannya akan ‘dibuai’ dengan lirik perihal janji
dikota (kononnya) dan kemudiannya bertemu dengan bait paling bermasalah
iaitu “janji sudah ditepati, kini masa balas budi”. Persoalan yang
timbul adalah janji siapa yang sudah ditepati? Dan apa maksudnya “kini
masa balas budi”?,” soalnya.
Tema Merdeka retorik kerajaan
Tambah beliau, tidak cukup dengan tema Hari Kemerdekaan yang dipilih
daripada slogan politik pemerintah, lagu tersebut turut diadun dengan
dasar retorik kerajaan.
“Akhir sekali adalah pada rangkap ‘rap’ lirik yang mengisi rangkap
akhir ini paling parah dan bersifat cacamarba. Entah apa yang bersarang
dalam benak si penulis lirik sehingga terhasil bait-bait lirik yang
lemah, dangkal dan membosankan.
“Alangkah jeleknya bila mana lirik rap pada rangkap terakhir itu
diselit dengan istilah (Bantuan Rakyat 1Malaysia) BR1M, klinik dan kedai
yang berorientasikan retorik 1Malaysia!,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan