HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Julai 2012

Pelajar babitkan diri aktiviti dadah untuk digelar 'taiko'

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Persaingan untuk bergelar "taiko" di kalangan rakan sebaya menjadi dorongan baru pelajar sekolah melibatkan diri dalam kegiatan pengedaran dadah, demikian menurut Pergerakan Belia 4B Selayang.
  
Pengerusinya Dr Roslan Basaruddin berkata sebelum ini masyarakat hanya bimbang pelajar dieksploitasi untuk kegiatan haram itu, namun senario kini berubah dengan mereka sendiri mencari peluang untuk terlibat secara langsung dalam kegiatan jenayah.
  
"Terdapat kes di mana pelajar yang saya temui mengakui ingin menjadi yang paling hebat di kalangan rakan-rakan. Mereka sanggup terlibat dengan kegiatan itu supaya nanti boleh digelar 'kepala gangster'.
  
"Apabila dia telah mencapai satu tahap yang membolehkannya memegang gelaran itu dalam kegiatan yang dilakukan, dia mempunyai lebihan wang yang memudahkannya menampung kos bagi berseronok bersama kawan-kawan, sekali gus dapat mengawal rakan-rakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
  
Roslan, yang juga Ketua Sekretariat Masyarakat Penyayang berkata lebih membimbangkan golongan pelajar itu bukan sahaja terbabit dalam penyalahgunaan dadah, malah turut terlibat dalam kegiataan pengedaran dadah.

"Mula-mula dia rasa nak mencuba dan bila dah rasa 'seronok' dia mula ketagih. Selepas itu ada pula peluang untuk dia menjana pendapatan lebih dengan membabitkan diri dalam pengedaran dadah," katanya, memberi contoh kes melibatkan pelajar sekolah berusia 16 tahun.
  
Menurut Roslan pengenalan inisiatif 'Kempen Anti Dadah Ke Arah Negara Sifar Dadah 2015' yang dipelopori Gerakan Belia 4B Malaysia, Sekretariat Masyarakat Penyayang (SMP), Majlis Belia Selangor Daerah Gombak dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia merupakan sebahagian usaha bagi mengekang aktiviti negatif daripada terus menular di kalangan remaja termasuk pelajar sekolah.
  
Beliau berkata dengan menekankan konsep "Kami Sayang, Kami Bantu dan Kami Pimpin" pengisian kempen yang dimulakan 21 Jun lepas itu memberi fokus mendekati golongan belia kerana mereka antara golongan mudah dipengaruhi.
  
"Mereka ini harus dididik kerana jika dibiar tanpa bimbingan, mereka mungkin akan mempengaruhi rakan-rakan lain pula," katanya.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata daripada 5,649 kes jenayah yang dilaporkan di daerah itu, 80 peratus daripadanya dilakukan oleh penjenayah di bawah pengaruh dadah.

Beliau berkata kajian terbaru Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor mendapati kebanyakan jenayah di daerah itu mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah, termasuk trend terkini pembabitan golongan remaja termasuk pelajar sekolah dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
  
"Meskipun kecenderungan itu dilihat masih pada tahap rendah tetapi tindakan mereka dianggap membimbangkan kerana mereka mungkin bergerak lebih aktif selepas menamatkan persekolahan," katanya.
  
Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy pula berkata perkara ini perlu diberi perhatian bagi mengelakkan ia menjadi 'trend' di kalangan pelajar sekolah.
  
"Kerjasama berterusan antara pihak sekolah dan polis perlu ada. Pihak sekolah juga perlu lebih bertanggungjawab. Jangan sorokan maklumat jika mendapati pelajar sekolah mereka terbabit dengan sebarang kegiatan melibatkan dadah kerana semata-mata mahu menjaga nama baik sekolah," katanya.
  
Beliau mengakui ada pelajar terlibat dalam penyalahgunaan dadah melalui penemuan kesan penggunaan bahan terlarang itu di tandas-tandas sekolah serta di bilik darjah yang tidak digunakan.
  
"Melalui tinjauan yang pernah dijalankan sebelum ini, memang ada pelajar sekolah terbabit dengan penyalahgunaan dadah daripada hasil penemuan bekas plastik menghidu ganja dan sebagainya yang juga ditemui di dalam bilik stor," katanya.   - Bernama

Tiada ulasan: