HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2012

Video Lagu Tema Hari Merdeka Undang Kritikan Diruang Siber



ULASAN : Ruang laman sosial Facebook dan Twitter dihangatkan dengan isu video lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 yang dilihat sebagai modal politik Umno-BN untuk memancing undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Jika sebelum ini lagu ‘Bahtera Merdeka’ berkumandang setiap kali sambutan kemerdekaan, tahun ini menyaksikan lagu bertajuk ‘Janji Ditepati’, lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim dipilih menjadi lagu tema sambutan kemerdekaan negara.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ‘Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi’ menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap rangkap berkenaan sebagai ‘menuntut’ rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN.

Video berkenaan yang telah dimuatnaik ke laman Youtube pada 23 Julai 2012 dengan menggunakan nama akaun NazS10.

Berdasarkan pemerhatian TV Selangor sehingga jam 6.30 pagi tadi video berkenaan ditonton oleh 11,374 orang dan berjaya mengumpul 3,292 ‘Dislike’ sementara 50 ‘Like’.

Ruangan komen video berkenaan turut mendapat kritikan lebih hebat dari pelayar internet yang rata-rata tidak bersetuju dengan tema berkenaan.

Dijangkakan lebih ramai pelayar internet akan memberikan kritikan hebat sekaligus pola ‘Dislike’ akan mengungguli rating video berkenaan.

Video tersebut boleh ditonton pada pautan http://www.youtube.com/watch?v=MzWHRz-owZ8
Selain video, logo tema kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ turut menjadi sindiran pelayar internet yang mengubah slogan berkenaan kepada ‘Janji Dicapati’ sebagai tanda protes.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan pemilihan tema Hari Kemerdekaan tahun ini yang dilihat cuba dipolitikkan oleh BN yang semakin kehilangan kepercayan rakyat ekoran pelbagai pendedahan penyelewengan termasuk beberapa projek yang memperlihatkan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pakatan Rakyat turut menggesa tema berkenaan ditukar dan memberikan tempoh selama seminggu untuk kerajaan berbuat demikian. Jika kerajaan masih berkeras untuk menggunakan tema berkenaan, negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat mungkin menggunakan tema lain yang lebih sesuai dengan unsur kemerdekaan.

Slogan ‘Janji Ditepati’ turut menjadi tema siri jelajah 1Malaysia Barisan Nasional ke seluruh negara sebagai modal ‘kempen awal’ kepada rakyat.

Minggu ini turut dibangkitkan satu lagi kontroversi iklan ‘Saya Pilih Malaysia’ yang telah diterbitkan di semua stesen televisyen dan akhbar media arus perdana dengan memaparkan Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan beberapa selebriti terkenal.

Tiada ulasan: