HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2012

KDN digesa umum segera pelan bantu mangsa jenayah

Oleh Norutul Ilham


SHAH ALAM : Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menghebahkan kepada umum berkenaan pelan penubuhan jawatankuasa khas bagi membantu mangsa jenayah kekerasan terutama wanita dan kanak-kanak yang diumumkan menterinya baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail berkata, tindakan itu perlu disegerakan kerana situasi jenayah semakin serius.

“Bukan setakat hebahan tetapi disertai segera dengan pelan tindakan yang jelas bagaimana menangani jenayah-jenayah yang disebutkan, bahkan semua jenis jenayah, termasuk pemerdagangan manusia, yang boleh mengakibatkan rasa negatif rakyat terhadap keselamatan mereka.

“Keberkesanan menangani masalah keselamatan awam berkait rapat dengan gerak kerja bersistem dan selaras di antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan yang mengarah jentera penguatkuasaan seperti PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Imigresen,” katanya pada kenyataan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilapor berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh PDRM dan badan bukan kerajaan (NGO) yang akan dipilih oleh KDN mengikut kriteria ditetapkan.

“Keberkesanan untuk mempengaruhi secara efektif dan positif keadaan rasa selamat rakyat Selangor boleh berlaku dengan kerjasama intim jentera penguatkuasaan Persekutuan dengan Kerajaan Selangor khususnya dalam perlindungan mangsa dan akses terhadap mereka.

“Dengan itu (langkah ini) akan benar-benar menurunkan kadar jenayah dan menjamin keselamatan rakyat umum secara meluas dan menjadikan ia norma dalam kualiti kehidupan masyarakat,” kata Rodziah.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan beberapa langkah reaktif dalam isu keselamatan awam di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ia merangkumi penyediaan undang-undang kecil yang relevan dalam memastikan keselamatan awam selain kawasan parkir wanita di kompleks membeli belah dengan CCTV lengkap dan sentiasa memastikan pencahayaan yang sempurna di tempat-tempat kunjungan awam.

Tiada ulasan: