Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Hasrat mahasiswa untuk menyaksikan debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak wajar dihormati dan dipenuhi, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.
Katanya, debat adalah sebaik-baik tradisi dalam negara demokrasi kerana pemimpin boleh bertukar pandangan dalam usaha menyuburkan sistem itu.
“Mahasiswa merupakan golongan yang telah dididik dengan pelbagai kemahiran dan cara berfikir yang lebih tinggi, justeru mereka memilih medan intelektual untuk berlawan, bukan dengan politik ganas,” jelas Pengerusi KEADILAN Perak itu ketika dihubungi.
Kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya (UM) menunjukkan 72% mahasiswa mahu debat antara Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri diadakan.
Manakala hanya 17% tidak bersetuju dan 11% tidak pasti.
Selain itu, populariti Najib juga menurun dari 61% pada Mac lalu kepada 58% pada September 2012.
Hasil kajian turut menunjukkan sokongan ke atas Pakatan Rakyat meningkat sekarang berbanding kajian yang dibuat pada awal tahun ini.
Pada 17 Oktober lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka mengenai kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 ekoran kritikan Najib terhadap Belanjawan Pakatan Rakyat kononnya tidak memahami kehendak rakyat.
Anwar berkata, debat itu harus diadakan segera dan secara terbuka kerana perbahasan belanjawan di Parlimen tidak mendapat liputan meluas.
Namun, hingga kini, Najib terus mengelak.
“Golongan muda mahu pemimpin mereka berdebat, tetapi pemimpin pula menolak dengan pelbagai alasan dangkal dan remeh, malulah…,” kata Muhammad Nur sinis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan