| DR SYED AZMAN SYED AHMAD
|
Ini merupakan jawapan resmi dari pihak kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Sri Ahmad Said setelah berulang kali di meminta penjelasan dari beliau mengenai status stadium tersebut yang sudah lebih tiga tahun runtuh ini.
Peristiwa malang ini adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu dan telah mengakibatkan rakyat Terengganu terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit.
Walaupun kerajaan negeri telah berbelanja ratusan juta, sehingga kini, stadium ini tidak dapat digunakan langsung. Manakala kerja-kerja baikpulih tidak berjalan seperti yang di jangkakan.
Malahan berlaku pula kecurian kelengkapan stadium seperti peralatan sukan, kabel dan generator yang dianggarkan berjumlah jutaan ringgit walaupun kerajaan negeri telah membayar khidmat syarikat keselamatan lebih satu juta ringgit setiap tahun bagi mengawal stadium tersebut.
Persolan besar yang kini menjadi tanda-tanya ramai kalangan rakyat Terengganu kini adalah, pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih yang akan menelan belanja lebih RM120 juta ini?
Kemanakah pula perginya kontraktor-kontraktor kroni yang rapat dengan pimpinan Umno Terengganu setelah mereka mengaut keuntungan puluhan juta hasil dari pembinaan Stadium yang runtuh ini?
Dan apakah jumlah keseluruhan RM 120 juta ini termasuk membeli semula kelengkapan stadium yang telah dicuri pada awal tahun ini?
Untuk ingatan kita, stadium ini telah siap dibina pada tahun 2008 menjelang berlangsungnya sukan SUKMA yang diadakan di negeri Terengganu.
Projek mega 'kebanggaan’ kerajaan kepimpinan Umno/BN ini pada mulanya di jangka siap pada tahun 2007 dengan kos asal projek berjumlah RM191 juta.
Namun akibat daripada berlakunya kelewatan siapnya projek ini lebih dari setahun, kosnya telah melambung naik kepada lebih RM 292 juta.
Projek Mega ini telah di serahkan perlaksanaannya kepada 3 'kontraktor kroni’ utama iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd.
Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk 'Space Frame’ ini adalah syarikat SOWON PTE. LTD. yang didatangkan khas dari Korea Selatan.
Namun pada 2 Jun 2009 suatu trajedi yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu telah berlaku. Pada jam 9.40 pagi, sebahagian daripada bumbung utama stadium kebangaan ini telah runtuh. Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini tetapi terdapat beberapa kenderaan yang rosak teruk akibat dari keruntuhan ini.
Semasa kejadian, projek ini masih lagi dalam 'Tempuh Tanggungan Kecacatan’ dan pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki kecacatan.
Namum timbul juga persoalan apabila dimaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri tidak pernah ada membuat sebarang perjanjian resmi dengan syarikat SOWON PTE. LTD.
Dari sudut perundangan, syarikat dari Korea Selatan yang membekalkan bumbung stadium ini tidak bertanggungjawab langsung terhadap keruntuhan bumbung stadium ini. Maka dalam hal ini, apakah ketiga-tiga 'kontraktor kroni’ utama yang rapat dengan kepimpinan Umno Terengganu iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn. Bhd. akan menanggung semua kos pembaikan semula stadium itu?
Namun realitinya, kos RM120 juta bagi pembaikian yang dicadangkan oleh kerajaan negeri Terengganu itu adalah terlalu mahal dan tidak munasabah langsung kerana harga asal membaiki dan membina semula kedua-dua belah bumbung itu pada mulanya hanyalah RM34 juta sahaja.
Seluruh rakyat Terengganu bukan sahaja menanggung bebanan 'malu’ sejak lebih tiga tahun tetapi juga kini terpaksa menanggung kos yang amat tinggi bagi pembaikan semula stadium yang telah runtuh ini.
Semua rakyat Terengganu perlu sensitif dan ada sifat kepekaan yang tinggi terhadap skandal demi skandal yang menimpa negeri ini.
Negeri yang kaya raya ini terus berhadapan dengan kepincangan dan salah-urus serta masalah kepimpinan kerajaan negeri yang amat lemah.
Rakyat bawahannya pula terpaksa menanggung bebanan yang melibatkan pembaziran dan kerugian ratusan juta ringgit.
Maruah dan harga diri setiap rakyat Terengganu mesti ditebus semula. Apakah mereka mahu terus diperkotak-katikkan oleh kepimpinan kerajaan negeri yang rakus dan tidak bertanggungjawab ini?
Tidak ada pilihan, kecuali setiap rakyat yang peka dan bermaruah di negeri 'penyu bertelur’ melakukan perubahan besar dalam pilihanraya Umum akan datang. Kembalikan semula maruah setiap rakyat Terengganu yang telah lama tercemar dan tercabar ini.
Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS dan Adun Batu Burok. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter:@syedazman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan