HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 September 2012

Individu kibar bendera: Sang Saka Malaya layak dikibar





KUALA LUMPUR— Individu yang bertanggungjawab mengibarkan bendera alternatif ketika himpunan Gabungan Janji pada malam sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Merdeka malam Khamis lalu merasakan bendera alternatif yang di bawa pihaknya layak dikibarkan atas nilai sejarah yang terdapat pada bendera berkenaan.

Melalui blog singaselatan.blogspot.com miliknya, individu berkenaan mengakui dia dan rakannya bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera tersebut, namun menafikan daripada mewakili mana-mana parti politik kerajaan mahupun pembangkang.

“Kami tidak mewakili mana-mana parti politik dari kerajaan mahupun pembangkang, kami mewakili golongan Anak Muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar jalur gemilang kepada sang saka Malaya, kerana sang saka Malaya yang ditukarkan kepada jalur gemilang hari ini,” jelasnya melalui entri di blognya itu.

“Saya ingatkan penulisan ini bukanlah untuk mencari publisiti diri dan rakan-rakan, tetapi penulisan ini adalah bertujuan memberi pencerahan umum kepada masyarakat akan tujuan asal kami mengibarkan panji keramat itu,” jelas individu berkenaan lagi.

Menurutnya, Sang Saka Malaya merupakan panji perjuangan mereka yang menuntut Kemerdekaan di Tanah Melayu dan ramai tidak tahu kewujudan kesatuan terawal terlibat menentang penjajah, iaitu Kesatuan Melayu Malaya (KMM), ditubuhkan pada 1938.

“Di sini permulaan bibit penentangan penjajah. Ia diketuai Ibrahim Yaakob bertujuan melindungi hak orang Melayu dan menentang British,” katanya.

“Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan ditanah Melayu.

“Oleh yang demikian, saya dan rakan merasakan bendera ini layak dikibar pada malam kemerdekaan selain dari Jalur Gemilang. Penuh dengan pelbagai cerita pahit maung perjuangan disebalik Sang Saka Malaya ini.”

Insiden mengibar bendera itu telah menerima reaksi negatif daripada banyak pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa ianya didalangi pembangkang, Pakatan Rakyat (PR)

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang, semalam menafikan mereka berniat mahu menukar bendera nasional dengan bendera alternatif dan menyelar Barisan Nasional (BN) kerana memutar belit fakta dan “menipu” untuk menghentam pembangkang memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.

“Menukar bendera bukan agenda Pakatan Rakyat dan tidak pernah dibincangkan atau dibangkitkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut menyelar Najib dan Kabinetnya kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang mana menurutnya “sangat tidak berasas” dan “isu palsu”.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, turut menyuarakan sentimen sama, berkata “segala tuduhan itu adalah palsu dan telah diberikan jawapan rasmi oleh pemimpin PR”.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut menggesa Najib agar berhenti daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian, dan berkata “kedudukannya sebagai perdana menteri bukanlah lesen untuknya menuduh tanpa bukti”.

Malah, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali turut menafikan perkara itu.
“Itu bukan polisi kami, bukan polisi PR.”

Beliau turut melihat tindakan mengibarkan bendera alternatif tersebut sebagai “tidak boleh diterima” dan menegaskan “pihak berkuasa perlu menyiasat pihak yang bertanggungjawab... dan mengambil tindakan sewajarnya”.

Tiada ulasan: