Pengerusinya Datuk Yusoff Ismail berkata dakwaan bahawa ahli Perkasa Kota Setar terlibat dalam kejadian itu adalah fitnah semata-mata kerana sehingga kini, Mahfuz tidak pernah memasukkan gambar kasut dan kejadian itu, dalam blog atau Youtube.
Katanya naib presiden Pas itu ada menyiarkan kekecohan di masjid itu tetapi gambar kasut yang didakwa itu tiada pula dan kerana itu beliau beranggapan ia adalah satu pembohongan oleh Mahfuz dan Anwar.
"Jadi kita minta Datuk Mahfuz kemukakan bukti (Perkasa Kota Setar terbabit dengan kejadian baling kasut itu) dan berhenti menfitnah kami. Kami belum bercadang ambil tindakan undang-undang tetapi jika ia berterusan, tidak mustahil kami akan berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Anwar sebelum ini, mendakwa dibaling kasut ketika menyampaikan tazkirah di masjid tersebut dan Mahfuz mendakwa perbuatan tersebut dilakukan ahli Perkasa yang didalangi Umno.
Yusoff berkata kehadiran anggota Perkasa kerana diminta oleh ahli kariah masjid berkenaan yang meminta pertolongan supaya masjid itu tidak dijadikan pentas politik.
"Kalau Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kami tiada masalah kerana mereka adalah orang yang berilmu tentang hukum hakam (agama)," katanya.
Beliau berkata sebelum majlis di masjid itu, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah bahawa tazkirah tidak akan dibuat di dalam masjid.
"Apabila Anwar beri tazkirah pun, mula-mula pihak kami tiada masalah tetapi apabila beliau mula bercakap soal politik dan mengatakan kerajaan menipu, kami hanya meminta beliau menghentikan tazkirah itu. Semuanya boleh dilihat di Youtube.
"Ahli Perkasa yang hadir malam itu semuanya pakai pakaian seragam. Kita hanya pertahankan masjid daripada dijadikan pentas politik. Selepas itu, Datuk Seri Anwar buat ceramah di Stadium Darul Aman, kami tak kacau," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan