Penswastaan ini bertujuan untuk mendapatkan bank tanah bernilai RM50 bilion milik KTMB, dakwa PKR.
PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal kerana pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi memungkiri janji dalam pelaksanaan tender terbuka dan kali ini didakwa untuk penswastaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, penswastaan ini berdasarkan cadangan pengambil alihan MMC Corp Berhad milikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bertujuan untuk mendapatkan bank tanah bernilai RM50 bilion milik KTMB.
Katanya, ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum kerajaan menswastakan KTMB buat kali kedua selepas penswastaan kali pertama gagal.
“Apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh kerajaan bagi memastikan aset dan pegangan tanah KTMB yang dianggarkan berjumlah RM50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau persendirian.
“Apakah jaminan kerajaan bahawa kebajikan KTMB akan dilindungi seadilnya apabila mandat diberikan kepada MMC Corp Berhad untuk mengendalikan pekerja?
“Apakah bentuk bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada MMC Corp Berhad untuk mengelakkan satu lagi projek swasta dibiayai wang rakyat?,” soal Rafizi.
Beliau turut difahamkan bahawa MMC telah mengemukakan pelan operasi pengambilalihan pada awal tahun ini dan didakwa ia dalam proses pengambilalihan.
Rafizi turut mendakwa wujud pemusatan operasi dan kontrak melibatkan infrastruktur dan harta utama negara di tangan kroni utama Perdana Menteri.
Maka beliau berkata, PKR menentang sepenuhnya percubaan untuk mengwujudkan monopoli pengangkutan keretapi dengan anugerah penswastaan baru kepada MMC Corp Berhad untuk mengambil alih operasi KTMB.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar turut menyatakan bahawa penswastaan tersebut bertujuan membolehkan MMC terus mendapat durian runtuh dalam kontrak seterusnya untuk membina MRT.
“Syed Mokthar mungkin akan menggunakan pengambilalihan KTMB ini untuk meningkatkan keyakinan pasaran dan menambah peluang untuk memenangi kontrak MRT 2 dan 3 yang dijangka dibuka untuk pembidaan pada 2013,” dakwa beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan