Pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy bukan menjadi ancaman kepada mana-mana parti dan tidak akan sama sekali menggugat sokongan masyarakat India kepada kerajaan, kata presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.
  
Beliau berkata sokongan masyarakat India terhadap kerajaan BN sedang meningkat dan tidak seperti situasi sewaktu pilihan raya umum 2008.
  
"Sokongan masyarakat India sedang mula kembali... tidak seperti pada 2008. Perdana Menteri kita melakukan kerja yang baik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal online MIC, 'Velicham' (Cahaya) di ibunegara semalam.
    
Palanivel berkata Waythamoorthy mungkin terus menjadi seorang pemimpin berpengaruh dalam kalangan masyarakat India tetapi beliau tidak menjadi ancaman kepada sesiapa manakala MIC kini bekerja keras untuk memastikan sokongan kaum India kepada BN kekal kukuh.
  
Waythamoorthy pulang ke Malaysia pada 1 Ogos lepas dari Britain setelah meninggalkan negara ini selepas perhimpunan haram Hindraf pada November 2007.

Mengenai portal 'Velicham', Palanivel berkata pra pelancaran portal itu dilakukan pada 15 Julai 2011 dan menyediakan maklumat terbaru dan terkini termasuk peluang dalam pelbagai bidang selaras dengan visi perdana menteri dalam memacu pertumbuhan ekonomi baharu.
  
"Dalam tempoh setahun, portal ini mencapai 448,000 pengguna. Ia dikemaskini setiap hari dengan menyokong sepenuhnya dasar kerajaan dan program pembangunan," katanya.
  
Palanivel berkata portal itu akan dinaik taraf dengan tiga lagi bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan bahasa Mandarin dan ada rancangan untuk bahan berita dalam portal itu disiarkan dalam media cetak dan elektronik.
  
Portal tersebut, yang boleh diakses melalui www.velicham.com.my, juga mempunyai rancangan untuk mengendalikan aduan awam melalui sistem atas talian. Bernama