HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 September 2012

Ronnie : Harta Milik Kerajaan Selangor Boleh disewa Rakyat




SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor mempunyai dasar dan polisi yang menetapkan harta milik kerajaan negeri adalah milik rakyat seraya mereka mempunyai hak untuk menggunakannya dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Exco Kerajan Tempatan,Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Lie berkata rakyat boleh menggunakan harta milik Kerajaan Negeri seperti dewan orang ramai, stadium bas serta kemudahan-kemudahan lain yang boleh disewa pada kadar tertentu.

“Semua kemudahan adalah pemilikan rakyat tetapi dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Wang untuk menyediakan kemudahan itu datangnya daripada rakyat, jadi semua kemudahan itu boleh digunakan kepada sesiapa yang ingin menyewanya.

“Jadi ini tidak ada salahguna, tiada yang percuma untuk menggunakannya,” kata Ronnie ketika dihubungi TVSelangor.

Ronnie berkata demikian bagi menjawab laporan sebuah akhbar harian yang mendakwa dua buah bas PBT digunakan bagi membawa peserta sekitar Klang untuk menyertai ‘Himpunan Hijau Raub’ bagi bantahan terhadap penggunaan sianida di lombong emas.

Sebelum ini, penduduk Kampung Baru Bukit Koman yang berdekatan lombong itu mendakwa penggunaan sianida menjejaskan kesihatan mereka tetapi perkara itu ditolak oleh Kerajaan dan syarikat pengendali Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd.

“Macam seperti pihak MCA, Umno dan lain-lain yang hendak menggunakan dewan orang ramai, ia dibenarkan walaupun ia untuk tujuan politik asalkan ia disewa,” ujarnya.

Jelas Ronnie lagi, Himpunan Hijau Raub bukan aktiviti politik seperti yang didakwa kerana ia adalah isu perjuangan alam sekitar.

“Rakyat Selangor ingin mempertahankan alam sekitar, bila kita mempertahankan isu alam sekitar ia bukan terhad di Selangor sahaja, tetapi di mana-mana sahaja dan ia bukan untuk mempertahankan politik tetapi kepada mempertahankan alam sekitar.

“Sebab jika kita mengotorkan air di Pahang dan memaksa air di salurkan ke Selangor seperti dalam cadangan pembinaan Loji Langat 2, ia akan menjejaskan semua,” katanya.

Tiada ulasan: