HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Disember 2012

Aku janji cegah huru-hara PRU13

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijangka paling sengit dalam sejarah politik tanah air memerlukan perjanjian atau akujanji melibatkan parti bertanding bagi pastikan tidak berlaku kekecohan atau huru-hara selepas keputusan diumum.

Selain itu, akujanji itu juga perlu untuk kesemua pihak agar dapat menerima dengan hati terbuka keputusan dibuat rakyat.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuat Mat Jali berkata, aku janji itu boleh dijadikan piagam pilihan raya bagi memastikan setiap parti yang bertanding lebih berdisiplin.

"Jika ada akujanji khusus seperti ini, kesalahan atau masalah yang timbul boleh diletakkan atas tanggung jawab pemimpin parti dan juga menjadi bahan bukti di mahkamah," katanya.

Mohd Fuad menegaskan, semua pihak harus sedar keamanan negara paling utama.

"Tidak boleh ada kompromi dalam perkara ini (keamanan). Perjanjian ini perlu dibuat kerana situasi semasa memerlukannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan perjanjian khusus melibatkan semua parti bertanding pada PRU13 untuk mereka akur dengan keputusan pilihan raya dan tidak menimbulkan kekecohan.

Ini berikutan beberapa kenyataan termasuk kebimbangan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa insiden demonstrasi jalanan yang boleh membawa huru-hara dan keganasan mungkin berlaku jika pembangkang tidak dapat menerima kekalahan pada pilihan raya akan datang.

Mengenai kebimbangan bekas Perdana Menteri itu, Mohd Fuad berkata, menjadi tanggung jawab pemimpin parti menenangkan penyokong yang fanatik.

“Pemimpin jangan tanam perasaan curiga dalam kalangan penyokong. Contohnya, jika kalah, dikatakan kerana ketidakadilan dalam proses pilihan raya. Sepatutnya pihak kalah, tidak kira siapa pun harus nyatakan sokongan pihak yang menang untuk perkasa negara,” katanya.

Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Prof Dr Abdul Rahman Abdul Aziz turut bersetuju agar satu perjanjian atau piagam dibentuk antara pihak bertanding bagi menjamin keamanan negara.

Menurutnya, jika ada perjanjian seumpama itu, tidak ada siapa boleh menuding jari kepada pihak lain jika penyokong mereka menimbulkan kekecohan kerana tidak bersetuju dengan keputusan pilihan raya

Tiada ulasan: