Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Langkah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjadikan saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik sebagai alasan menghalang pembaharuan kad pemandu teksi dibantah Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan.
“Tidak termaktub dalam mana-mana Akta Pengangkutan Jalan bahawa SPAD berhak menghalang pembaharuan kad pemandu.
“Ada 79,500 pemandu teksi di seluruh Malaysia. Sebahagiannya mempunyai kesalahan trafik. Namun SPAD tak boleh jadikan saman agensi lain untuk nafikan hak pemandu perbaharui kad pemandu. Ini menafikan hak mereka.
“Lebih baik kuasa perbaharui kad pemandu teksi diberi kepada JPJ dan trafik. Bubarkan sahaja SPAD,” katanya kepada Keadilan Daily.
Dalam pada itu, jelas Amran, terdapat sesetengah saman ke atas pemandu yang tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan. Beliau memberi contoh pemandu tertidur di tepi jalan ketika menunggu penumpang juga disaman.
Amran turut mempersoal adakah SPAD yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi lain menghalang pembaharuan kad pemandu.
Kegagalan memperbaharui kad itu, katanya, menyebabkan pemandu beroperasi seolah-olah secara haram dan tidak boleh mendapat sebarang manfaat, misalnya skim Tayar Rakyat 1Malaysia.
Amran Jan (kanan) mengunjungi SPAD untuk kepastian mengenai tindakan suruhanjaya itu menghalang pembaharuan kad pemandu.
Ketua Wilayah Tengah SPAD, Norhaslinda Mohd Ishak ketika ditemui memaklumkan, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang maklum balas kerana perkara itu perlu dirujuk kepada pihak atasan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan