Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Ketua Biro Keselamatan, Imigresen dan Reformasi Pilihan Raya KEADILAN, Dr Chong Eng Leong dipanggil menjadi saksi dalam Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pemberian kewarganegaraan kepada warga asing di Sabah.
“Bermula esok saya akan tampil sebagai saksi. Minggu ini ada empat sidang sebelum disambung semula pada 22 Februari,” kata Chong Eng dihubungi.
“Saya tak boleh beri apa-apa komen sehingga selesai memberi keterangan dalam siasatan tersebut,” katanya lagi ketika ditanya perkembangan lanjut berhubung siasatan itu.
Beliau sebelum ini mendedahkan dalam Suara Keadilan edisi 28 Ogos 2012 berhubung keterlibatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memberi kewarganeraan kepada warga Filipina dan Indonesia di Sabah.
Menurutnya, Projek IC Mahathir atau ‘Projek M’ telah menambah secara drastik jumlah penduduk Sabah dan membenarkan pendatang asing menjadi pengundi sah.
Chong Eng turut mendedahkan terdapat 200,000 nama warga asing hasil dari ‘Projek IC’ dalam senarai pemilih di Sabah dari jumlah keseluruhan 950,000 pengundi berdaftar.
Katanya, hasil projek tersebut, penduduk Sabah telah bertambah kira-kira 700,000 orang termasuk generasi kedua dan sebahagiannya telah berdaftar sebagai pengundi sah.
Jelasnya, bukti keterlibatan Mahathir ialah apabila warga asing yang ditahan akibat memiliki kad pengenalan ditanya di Mahkamah Majistret pada September 1992, mengenai cara mereka mendapatkannya, dan mereka menjawab melalui ‘Projek Presiden Mahathir’.
“Warga asing itu tidak dihantar pulang, bahkan namanya dimasukkan kekal dalam senarai daftar pemilih,” kata Chong Eng dalam kenyataannya sebelum ini.
Menurut beliau lagi, pada 1998, satu sesi pendengaran awam dilakukan bagi mengesahkan kemasukan pengundi baru dalam senarai pemilih Parlimen Likas.
“Ketika ditanya pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya, bagaimanakah mereka memperoleh IC, jawapan yang diberi (oleh penama) sama sahaja, iaitu dari ‘Projek Mahathir’,” jelasnya.
RCI memulakan sidang pada 14 Januari lalu dengan menampilkan 48 saksi di Kota Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan