THE MALAYSIAN INSIDER
KUANTAN — “Bagai menatang minyak yang penuh”. Itulah ibaratnya kerajaan
pimpinan Barisan Nasional (BN) dalam melaksanakan tanggungjawab dan
menjaga kebajikan peneroka di seluruh negara.
Bagi peneroka, pelbagai kemajuan yang dikecapi mereka
selama ini daripada pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bukanlah
omongan kosong.
Hasilnya, peneroka kini hidup dengan selesa dengan
memperoleh pendapatan lebih RM3,000 sebulan berbanding keadaan ketika
mula menyertai program Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang
dicengkam kemiskinan.
Bagi mereka, segelintir peneroka yang menentang kerajaan,
ianya tidak ubah seperti “melepaskan anjing yang tersepit” yang tidak
tahu menghargai bantuan yang telah diberikan kerajaan dengan bersikap
“kacang lupakan kulit’.
Sejak Felda diasaskan pada 1 Julai 1956, bertujuan
menangani penempatan semula penduduk luar bandar yang miskin ke
kawasan-kawasan yang baru dibangunkan bagi meningkatkan taraf ekonomi
mereka, sehingga kini terdapat lebih 112,635 peneroka di seluruh negara.
Di Pahang sahaja, terdapat 43,124 orang peneroka, dan
daripada jumlah itu 40,901 peneroka terlibat dengan penanaman sawit
manakala selebihnya terlibat dengan penanaman getah.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Unit Korporat Felda, Aman
Shah Alladin, keluasan penempatan dan ladang di tiga wilayah Felda di
Pahang melebihi 185,000 hektar.
Beliau berkata sehingga akhir 2011, seramai 34,000
peneroka telah diberikan hak milik tanah, manakala selebihnya masih
dalam proses pemberian hak milik tanah itu.
Mat Zahari Derahman, 55, Ketua Kampung Felda Bukit Goh,
dekat sini, berkata para peneroka dilihat tidak mempunyai sebarang sebab
untuk menentang kerajaan yang banyak berjasa kepada golongan itu.
Beliau yang menyertai Felda sejak 1970 berkata pelbagai
bantuan dan program meningkatkan taraf hidup peneroka yang dilaksanakan
kerajaan dan ianya tidak boleh dinafikan sama sekali.
“Pelbagai inisiatif seperti pembiayaan pembesaran rumah
tanpa faedah, pembinaan rumah untuk generasi kedua, program pendidikan
untuk anak peneroka, program agropolitan, Tabung Kebajikan Peneroka,
Skim Pinjaman Komputer tanpa faedah, skim insentif usahawan Felda,
bantuan sara hidup tanama semula, bonus insentif produktiviti, dan
terbaharu “durian runtuh”, semuanya memberi manafaat besar kepada kami.
“Hidup perneroka kini ibarat “tikus jatuh dalam beras”,” katanya.
Beliau berkata para peneroka perlu bermuhasabah diri
dengan kehidupan yang mereka miliki berbanding sebelum mereka menyertai
Felda.
“Apabila terdapat yang menentang seperti Persatuan Anak
Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), ianya tidak ubah seperti “api dalam
sekam”, seperti “duri dalam daging”, yang cuba merosakkan apa yang
sedang dinikmati peneroka selama ini,” katanya.
Generasi kedua Felda turut melahirkan rasa syukur
berikutan kehidupan yang mereka nikmati sebenarnya lebih baik berbanding
mereka yang menetap di kampung-kampung tradisional.
Beliawanis Felda Bukit Kuantan, Norehan Saleh, 28, berkata
pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan pemberian
durian runtuh semasa menghadiri perhimpunan bersama lebih 20,000 warga
peneroka pada 31 Mac 2012 turut menyenaraikan generasi kedua sebagai
penerima itu.
“Hari ini, kita berada di ambang satu lagi pembaharuan
yang bersifat lonjakan berganda, bukan pembaharuan yang sedikit, bukan
bantuan yang dikatakan sedikit peningkatan tetapi ianya satu lonjakan
berganda yang dicetuskan oleh Perdana Menteri untuk faedah besar warga
peneroka,” katanya.
Beliau berkata usaha penyenaraian Felda Global Ventures
Holdings Berhad baru-baru ini merupakan satu lonjakan berganda untuk
warga peneroka dalam menghadapi persaingan di peringkat global.
“Generasi kedua Felda bukanlah seperti “katak di bawah
tempurung”, kami juga bersedia untuk bersama-sama melaksanakan
transformasi nasional negara,” katanya.
Jasmi Faisal Muda, 31, dari Felda Kota Gelanggi 3 berkata
setiap kemudahan diberikan Felda secara tidak langsung membantu golongan
muda termasuk generasi kedua untuk berjaya dalam pelbagai bidang.
“Setiap peluang yang disediakan harus dimanfaatkan sebaik
mungkin agar tidak disia-siakan. Peluang yang datang mungkin tidak dapat
dikecapi oleh belia di bandar atau luar bandar yang lain.
“Saya rasa mereka yang menentang apa yang dilakukan
kerajaan dalam meningkat taraf hidup kami sebagai anak peneroka ini,
ianya tidak ubah seperti “tikus mahu membaiki labu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan