HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2013

Zahid jauh lebih berani dari Najib

Abdul Aziz Mustafa,


KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang yang akan dibuat oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke atas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli hakikatnya adalah satu tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya bersifat berani.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, sepatutnya Najib juga berani seperti Zahid untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelbagai tuduhan ke atasnya, terutama tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno meminta Rafizi memohon maaf berhubung dakwaannya bahawa terdapat penyelewengan dalam dana Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Zahid juga telah melantik peguam bagi mendakwa Rafizi di mahkamah berhubung kes itu, jika tidak memohon maaf dalam masa terdekat.

"Nampaknya Menteri Pertahanan lebih berani dari bosnya, Perdana Menteri. Naib Presiden Umno lebih berani dari Presiden Umno," kata Mahfuz (gambar kanan).

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga menyifatkan apa yang berlaku itu menimbulkan pelbagai tanda tanya.

"Antaranya, adakah Zahid bertindak demikian untuk menekan Najib supaya berani bertindak ke atas Deepak yang melemparkan pelbagai tuduhan ke atasnya dan juga isterinya, (Datin Seri) Rosmah (Mansor)?

"Juga, adakah Zahid berbuat demikian untuk mengheret Najib supaya bersikap berani kerana selama ini seluruh dunia melihat Najib menikus terhadap pelbagai tuduhan ke atasnya," kata Mahfuz.

Walaupun apa pun kemungkinannya, kata beliau, tindakan Zahid tetap menjadi tekanan ke atas Najib supya lebih berani menghadapi tuduhan-tuduhan terutama dari Deepak.

Antara lain, Deepak mendedahkan bahawa akuan bersumpah kedua yang dibuat secara tergesa-gesa oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, untuk menarik balik tuduhan awalnya yang mengaitkan Najib dengan Altantuya Shaariibuu, adalah sebahagian daripada usaha untuk menggagalkan satu pengakuan yang dirancang berhubung pembunuhan wanita Mongolia itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi menegaskan, beliau tidak akan memohon maaf berhubung dakwaannya bahawa terdapat penyelewengan dalam dana LTAT.

Tiada ulasan: