KOTA BHARU:
Pas tidak nampak cabaran yang akan dihadapinya jika bekas Timbalan
Presiden Nasharudin Mat Isa meninggalkan parti itu dan menyokong parti
politik lain.
“Sebagaimana orang bercerai laki bini, tidak apa yang
mencabarnya jika sesuatu pasangan itu ditakdirkan berpisah,” kata
Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pemberita ketika
melawat pusat perusahaan madu lebah kelulut Min House Camp di Kampung
Pulau, Kubang Kerian di sini, hari ini.
Nik
Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kedudukan
bekas pemimpin nombor dua Pas itu jika menyertai parti lain selepas
Nasharuddin, yang juga anggota Parlimen Bachok, digugurkan daripada
menganggotai Dewan Syura Ulama Pas.
Tindakan
itu dipercayai diambil selepas Nasharuddin pulang daripada mengikuti
rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru
ini.
Semalam,
dilaporkan Nasharuddin berkata beliau tetap akan terus memperjuangkan
Islam walaupun tidak lagi menganggotai Majlis Syura Ulama PAS.
Sementara
itu, bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad
berkata tindakan terhadap Nasharuddin itu bukan perkara pelik.
Wan Ismail
berkata Pas kini dilihat semakin lari daripada perjuangan asal mereka
untuk menubuhkan negara Islam sejak bersekongkol dengan Parti Keadilan
Rakyat dan DAP.
“Dulu saya
pun dibuang, tapi saya bersyukur kena pecat sebab lihat Pas sudah lari
daripada perjuangan asal (untuk menubuhkan negara Islam).
“Nasihat
saya kepada beliau (Nasharuddin), kalau betul-betul nak perjuangkan
Islam, buat parti lain,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari
ini.
Wan Ismail
yang juga antara pengasas Pas berkata tahaluf siasi yang diamalkan Pas
dalam pakatan pembangkang telah lari daripada konsep sebenar apabila
dilihat lebih banyak tunduk dengan desakan yang dibuat rakan sekutu
mereka.
“Konsep
tahaluf siasi berlaku masa Nabi Muhammad SAW memerintah Madinah. Masa
itu orang bukan Islam ikut apa yang Nabi kata. Saya lihat Umno yang
lebih betul (mengamalkan) konsep tahaluf siasi ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan