Roketkini.com
KUALA LUMPUR,: “Tiada yang luar biasa”. Demikian jawapan bekas Ketua UMNO Kota Raja, Amzah Umar yang berhelah ketika menjawab pendedahan terkini kes ‘sapu tanah’ seluas empat ekar dengan premium RM1,000 di Seksyen 25, Shah Alam, baru-baru ini.
Tambah menyedihkan, tanah seluas empat ekar itu kini dibangunkan dengan deretan rumah kedai dan sebuah pangsapuri yang hampir siap walaupun rancangan awalnya adalah pembangunan sebuah kompleks sukan dan pusat aktiviti masyarakat.
Jawapan “menjerut diri “orang kuat UMNO itu memberi satu petanda buruk kepada rakyat Selangor bahawa akan lebih banyak tanah di Selangor bakal “dirompak” UMNO-Barisan Nasional (BN) jika terus diberi mandat memerintah semula Negeri Selangor.
“Sepatutnya dalam rancangan awal, empat ekar tanah itu dibangunkan sebuah kompleks sukan dan rekreasi dengan satu pusat kegiatan komuniti setempat tapi sekarang tidak,” kata Ketua Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.
Merujuk laporan Malaysiakini, Pua menambah, Amzah yang juga bekas ADUN Sri Muda itu mendakwa pembinaan “pangsapuri kos sederhana itu adalah demi kepentingan awam” dan menafikan sebarang salah guna kuasa yang berlaku.
Menurut Pua, apa yang mengejutkan ramai pihak, Amzah cuba mempertahankan kenyataannya dengan menyebut bahawa “ahli UMNO akan mendapat 12 peratus diskaun untuk pangsapuri” dan bumiputera biasa boleh mendapat tujuh peratus diskaun.
“Apapun fakta itu, jelas menunjukkan UMNO tidak mampu membezakan antara kepentingan parti, kepentingan pemimpin mereka atau ahli. Mereka langsung tidak berasa kesal dengan mencuri dan membolot kekayaan negeri dan rakyat demi keuntungan mereka (UMNO-BN),” ujar Pua.
Sebagai perbandingan, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, walaupun sudah lima tahun Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, tidak ada seorang pimpinan atau wakil rakyatnya yang pernah menerima tanah daripada kerajaan negeri.
“Peliknya, sampai sekarang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi UMNO Selangor membisu tanpa sebarang jawapan.
“Kalaulah “projek” itu demi kepentingan awam, semua keuntungan yang dibuat melaluinya perlulah dikembalikan kepada kerajaan negeri,” tambah Pua. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan