HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2013

Ibu Sugumar tetap tuntut bedah siasat kedua walaupun polis tolak

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: K Manimagalay, 65, ibu mangsa yang mati dipukul polis, C Sugumar mendesak polis membenarkan tuntutan beliau supaya mendiang anaknya dibedah siasat kali kedua.

Beliau yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini merayu supaya mayat anaknya, diberikan pembelaan sebelum disemadikan.

“Mayat anak saya masih lagi di Hospital Serdang. Polis beritahu sebab Sugumar mati kerana sakit jantung.

“Anak saya tak ada sakit jantung, polis tipu. Anak saya tak pernah ada rekod jenayah,” katanya.

Manimagalay berkata, Sugumar yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik tinggal bersamanya dan bertanggungjawab menjaga dan memberi perbelanjaan seharian.

“Sekarang anak saya sudah tiada. Saya sunyi. Takut tinggal seorang diri di rumah. Ayahnya meninggal dua tahun lepas.



“Semua makan minum saya dia yang tanggung, sekarang tiada lagi orang yang nak jaga saya. Abang dan kakaknya sudah kahwin. Mereka duduk berasingan dengan saya,” ujarnya sambil mengesat air mata.

Pada 24 Januari lalu, Sugumar, 40, dilaporkan mati dalam keadaan tangan bergari selepas dikejar polis berhampiran rumahnya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat.

Sugumar yang tiada rekod jenayah, turut dicampakkan ke bahu jalan dalam keadaan bogel, selepas kematiannya.

Ekoran itu, sekumpulan 50 aktivis, ahli keluarga mangsa bersama peguam Latheefa Koya dan N Surendran ke Bukit Aman hari ini menuntut keadilan atas kematian Sugumar supaya membenarkan bedah siasat kedua dijalankan.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

“Kita hadir di sini bukan mahu hantar memorandum, tetapi mahu jawapan daripada polis supaya benarkan kita buat bedah siasat kedua. Kita mahu polis klasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan mesti disiasat di bawah kanun keseksaan 302.

“Kita juga mahu polis ambil tindakan terhadap anggota mereka yang terlibat. Gantung tugas mereka bagi menjalankan siasatan,” kata Surendran menyampaikan ucapan kepada aktivis dan media.

Bagaimanapun, beliau yang kecewa dengan sikap polis yang berkeras tidak mahu berjumpa dan memberikan jawapan kepada kumpulan tersebut menyebabkan mereka masih menunggu.

“Kenapa polis sangat takut kepada rakyat? Kalau hari ini polis tidak mahu beri jawapan dan bertemu kita, nanti kami datang bawa keranda,” katanya disambut sorakan penyokong.

Lewat petang ini, polis dilapor menolak bedah siasat kedua menyebabkan keluarga Sugumar dan aktivis merancang mengadakan perhimpunan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang esok, dan di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya 4 Februari ini.

Tiada ulasan: