HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 Januari 2013

Keluarga Tan mahu tuntut ganti rugi kerajaan Algeria

Wartawan Sinar Harian

PORT DICKSON - Berita kematian Tan Ping Wee, 48,  amat menghiris hati isterinya yang mengharapkan kepulangan suami dengan selamat ke tanah air.

Koh Siow Mun, 40-an, bagaimanapun enggan ditemu bual kerana masih bersedih tatkala menerima perkhabaran kematian suaminya daripada Wisma Putra, malam kelmarin.

“Tolong faham situasi saya ketika ini. Banyak urusan penting perlu diselesaikan seperti membawa pulang mayat suami ke sini untuk disemadikan.

“Justeru, saya sudah membuat keputusan tidak akan berjumpa dengan mana-mana pemberita. Jadi tolong jangan ganggu saya,” katanya, semalam.

Sementara itu, bapa Siow Mun, Koh Eng Hong, 70, berkata, dia tidak menyangka tragedi tersebut akan menimpa menantunya walaupun mendiang Ping Wee kerap bertugas di luar negara.

“Mendiang ditugaskan ke Algeria enam bulan lalu, kali terakhir dia pulang ke tanah air  menjenguk keluarga pada Disember lalu.

“Kami bercadang mahu menuntut ganti rugi daripada Kerajaan Algeria kerana kegagalan mereka menjaga keselamatan pekerja asing di negara itu,” katanya.

Eng Hong berkata, kini bingung memikirkan nasib bakal menimpa anak perempuannya yang hanya bekerja sebagai kerani serta cucu lelakinya berumur 16 tahun.

Menurutnya, persediaan bagi upacara pengebumian pula tidak akan dibuat sehinggalah mengetahui tarikh sebenar mayat menantunya dihantar pulang.

“Berita diterima benar-benar memilukan, lebih-lebih lagi apabila berlaku beberapa minggu sebelum ketibaan Tahun Baru Cina,” katanya.

Tiada ulasan: