HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 Januari 2013

Pusat judi berhampiran rumah Exco Agama

Khairil Abdul Rahim,


(Penduduk Keratong berdemo bantah judi)

ROMPIN: Kecewa dan marah dengan aktiviti judi yang berleluasa di kawasan mereka, seramai 200 penduduk sekitar gugusan Keratong berhimpun membantah selepas Solat Jumaat di masjid Felda Keratong 2 di sini kelmarin.

Mereka kesal dan merasa tercabar, kerana empat pusat judi itu terus dibiarkan beroperasi sejak lebih setahun lalu walaupun laporan polis telah dibuat, memorandum kepada Jabatan Agama Islam Daerah telah dihantar serta pendedahan media telah tersiar.

Lebih mengecewakan, salah satu pusat judi berkenaan hanya terletak sekitar satu kilometer dari rumah keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Ibam Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz yang juga merupakan Exco Agama kerajaan negeri.

Perhimpunan aman sekitar setengah jam itu diisi dengan pidato penduduk, bacaan doa oleh imam masjid dan pelbagai sepanduk ditunjukkan oleh penduduk.

Seorang penduduk Keratong 2, Muhamad Mohd Yasin, 66, (gambar kanan) ketika ditemui berkata, letih mereka mendidik anak-anak menjadi baik tetapi musnah apabila wujudnya pusat judi.

“Kami dengar dulu pusat judi hanya ada di bandar, tapi sekarang dah ada kat kampung kami, bukan satu malah ada empat. Pelanggannya 100 peratus Melayu, Islam termasuk anak-anak kami dan peneroka sendiri.

“Sudahlah judi itu haram, perniagaan itu juga haram kerana premis tak berlesen pula. Anak-anak muda ramai dah rosak akhlak sekali gus mengancam keselamatan penduduk akibat meningkatnya gejala sosial seperti kecurian,” katanya.

Beliau turut kesal kerana pihak pentadbiran Felda seolah-olah buat-buat tidak nampak sedangkan ada yang terletak di dalam kewasan rizab Felda.

Anak peneroka Felda Keratong 2, Mohd Nordin Saad, 32, terkilan kerana kedai judi aktif dalam kawasan Melayu itu sudah buat laporan polis, hantar memorandum ke pejabat agama dan sudah didedahkan akhbar, tetapi bukannya ditutup malah ditambah dua lagi.

“Kedai dimiliki orang tempatan, disewa kepada bukan Melayu untuk menjalankan kerja terkutuk itu dengan berselindung di sebalik cafe siber untuk mengaburi pihak berkuasa. Beroperasi dari pukul 10 malam hingga lima pagi.

“Memang tak hormati kesucian Islam langsung, malam maulid rasul baru inipun mereka beroperasi seperti biasa,” ujarnya.

Tambahnya, seolah-olah ada ‘kuasa yang kuat’ mempertahankan mereka sehingga tidak berani diusik. Justeru Mohd Nordin, sebagai generasi kedua Felda berharap semua pihak tidak ‘bermain wayang’ dan berharap diambil tindakan segera.

Din Abu Bakar Muhammad, 50 (gambar kiri), dari Keratong 5, pula bimbang jika isu judi yang makin membiak ini tidak diambil serius, akan mendapat kutukan dan bala Allah.

“Apa lagi ramai yang bercerita pusat-pusat judi itu mendapat perlindungan pihak tertentu supaya tidak diganggu.

“Saya seru semua pihak seperti polis, Felda, JKKR dan Exco perlu tegas tangani pusat judi ini. Ini perhimpunan kali pertama, kalau lepas ini tak tutup juga kami penduduk berhasrat untuk berhimpun di hadapan pejabat wakil rakyat.  

“Adun kami Exco agama, anak peneroka sini. Salah satu pusat judi itu hanya satu kilometer saja dari rumah keluarganya. Jadi wakil rakyat tidak boleh memekakkan telinga apa lagi beliau merupakan Exco agama,” tegasnya.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Shukri Ahmad,  yang turut berucap dalam perhimpunan berkenaan, berkata bahana judi menjadi ancaman besar kepada penduduk Keratong dan sekitarnya dan wajar dinyahkan dari kawasan itu dengan apa cara sekalipun.

“Atas desakan penduduk PAS sudah beberapa kali membuat laporan di  Balai Polis Bandar Tun Razak kerana wujud kebimbangan di kalangan penduduk di mana sejak judi beroperasi telah meningkat gejala sosial curi motosikal, lembu, buah sawit dan juga pecah rumah.

“Gejala sosial ini tidak boleh dipandang sebelah mata kerana menjadi barah memusnahkan masyarakat Islam dan memecahkan istitusi keluarga. Orang main judi tak pernah kaya, yang kaya taukenya yang bukan Islam itu,” ujarnya.

Justeru beliau menyeru semua pihak tanpa mengira fahaman politik, bersatu membanteras larangan Allah itu.

Tiada ulasan: