HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 Januari 2013

Dakwaan William didera: Bapa saudara, nenek akan diambil keterangan

MALAYSIA KINI

PETALING JAYA - Polis akan mengambil keterangan bapa saudara dan nenek William Yau Zhen Zhong berhubung dakwaan mereka bahawa kanak-kanak lelaki itu pernah didera ibu bapanya sebelum dia hilang dan ditemui mati Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata, keterangan itu akan diambil daripada kedua-dua individu itu, yang kini berada di Melaka, dalam masa terdekat.

Beliau memberitahu sidang berita di Kolej Universiti Sunway dekat sini, polis juga akan mengambil kenyataan lanjut daripada ibu bapa dan abang William yang berumur tujuh tahun, bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, termasuk aspek kecuaian dan penderaan.

"Kita sedang berbincang dengan pakar psikologi kanak-kanak Bukit Aman untuk mengambil sekali lagi keterangan abang William," katanya.

Yahaya berkata, sehingga kini, kira-kira 30 individu diambil keterangan berhubung kes itu dan polis juga akan mengenal pasti saksi lain yang boleh dirakam percakapan.

Semalam, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 24 Januari lepas adalah William, 6, anak kedua pasangan Goh, 28, dan Yau, 32.

Dia dilaporkan hilang pada 16 Januari di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya.

William dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Pada hari bedah siasat pada 25 Januari, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka berdasarkan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi selain seluar dalam yang dipakainya. - Bernama

Tiada ulasan: