KUALA LUMPUR — Sekurang-kurangnya 24 hari
diperlukan untuk pengundian di luar negara berbanding dua minggu yang
dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata badan bukan
kerajaan (NGO) Tindak Malaysia semalam.
Timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar)
memberitahu Radio ABC Australia Rabu lalu terdapat dua minggu antara
pengundian pada penamaan calon dan pengundian untuk kertas undi dihantar
ke luar negara, pembuangan undi, dan pengiraan undi mengikut kawasan
masing-masing pada hari pengundian.
“Dua minggu sememangnya tidak cukup,” kata PY Wong, wakil Tindak Malaysia kepada The Malaysian Insider semalam.
“Kita perlu cabar SPR. Kita beri tempoh masa setiap
operasi, ini penting untuk memastikan pengundi luar negara mendapat
peluang untuk mengundi, bukan ada sandiwara bila diberikan undi pos dan
tidak sampai tepat pada masanya,” katanya lagi.
Wan Ahmad memberitahu Radio ABC Australia masa mencukupi
untuk kertas undi tiba di Kuala Lumpur seminggu selepas dihantar dari
Australia, sebagai contoh.
“Kerana dalam masa seminggu, minggu terakhir, kita
mempunyai masa untuk menghantar kertas undi itu ke kawasan-kawasan
parlimen, dan pegawai akan mengira undi selepas pusat mengundi ditutup,
itu cara biasa mengundi di Malaysia,” katanya lagi.
Tetapi Wong berkata lapan hari, bermula dari hari penamaan
calon, memerlukan kertas undi itu dicetak, dihantar ke ibu pejabat SPR
di Putrajaya, kemudian kepada pegawai di setiap kawasan, dan kembali ke
SPR Putrajaya.
Sekurang-kurangnya 14 hari tambahan diperlukan oleh SPR
Putrajaya untuk menghantar kertas mengundi di beberapa kedutaan dan
memulangkan kembali ke SPR Putrajaya, sebelum menghantar ke pegawai di
kawasan tersebut yang mengambil masa lagi dua hari.
Dibawah Wong memecahkan proses dalam hari-hari pengundian luar negara:
Hari pertama, penamaan calon: Mengenal calon dan kedudukan mereka dalam kertas undi melalui lukisan.
Hari ke-3: Pencetak kerajaan mencetak kertas undi
Hari ke-4: Hantar ke SPR Putrajaya
Hari ke-5: SPR Putrajaya akan hantar ke SPR negeri
Hari ke 6: SPR negeri akan menghantar ke pegawai di setiap kawasan, dan akan mengumumkan kepada calon.
Hari ke-7: Pegawai dan agen pengundi pos (PACAPOS) akan mengedar undi pos dan meletakkannya dalam sampul surat.
Hari ke-8: Pegawai di kawasan tersebut menghantar semula ke SPR Putrajaya.
Hari ke-9: SPR Putrajaya menghantar ke Wisma Putra.
Hari ke-12: Wisma Putra akan menghantar kertas undi ke kedutaan.
Hari ke-15: Kedutaan akan memberitahu pengundi-pengundi melalui pos dengan mengepos kertas tersebut kepada mereka.
Hari ke-18: Pengundi memulangkan undi kepada kedutaan masing-masing.
Hari ke-21: Kedutaan menghantar kertas undi ke Wisma Putra.
Hari ke-22: Wisma Putra akan menghantar ke SPR Putrajaya.
Hari ke-23: SPR Putrajaya akan menghantar kepada pegawai bertugas di kawasan.
Hari ke-24: Tiba di tempat pengiraan undi.
Wong juga berkata tiga hari diperlukan untuk hari cuti
umum dan kemungkinan berlaku kelewatan, menjadikan jumlah keseluruhannya
27 hari.
“Kritikal bagi kawasan yang tidak mempunyai kedutaan atau
pejabat konsulat, dan negara yang luas seperti Brazil, Amerika Syarikat,
Australia, Rusia atau China,” katanya lagi.
“Nampaknya prosedur mereka untuk kertas undi diterbangkan
kepada kedutaan dan mengumpul undi pos dan mengundi, hanya memberi notis
24 jam dan hanya mempunyai satu hari untuk mengundi, ini agak janggal,”
kata aktivis tersebut.
Beliau berkata Tindak Malaysia “gembira sekiranya SPR membuktikan mereka salah”.
“Apa yang kami mahukan ialah ketelusan dan keyakinan
bahawa SPR membuat kerja untuk memastikan kertas undi mereka dapat
sampai tepat pada masanya,” kata Wong.
Wan Ahmad berkata dalam temubual tersebut SPR Putrajaya
boleh menghantar kertas undi tersebut kepada pegawai bertugas seluruh
negara dalam masa satu hari.
“Kita ada rancangan kita, dan kita ada program yang disusun dalam hal ini, ini tak jadi masalah,” katanya lagi.
Beliau berkata mereka yang tinggal di Selatan Thailand,
Singapura, Brunei dan Kalimantan tidak dibenarkan untuk mengundi pos
kerana mereka hampir dengan Malaysia.
“Mereka yang di Singapura misalnya, mereka cuma seberang
tambak dan boleh pulang, ke kawasan mereka akan mengundi. Begitu juga
dengan mereka di Brunei, kebanyakannya dari Sabah atau Sarawak, begitu
juga dengan Kalimantan, kebanyakannya dari Sarawak.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pada
Rabu lalu sehingga hari ini, SPR hanya menerima 125 pemohonan dari
rakyat Malaysia di luar negara untuk mengundi secara pos dalam pilihan
raya yang perlu diadakan selepas mandat kerajaan berakhir pada April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan