HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2013

Pengundi muda berfikir kritis



Oleh Abdul Shukur Harun

WALAUPUN Pakatan Rakyat, menurut kajian setakat ini, dilihat sedikit mendahului Umno-BN menjelang PRU akan datang, ia perlu memberikan perhatian bersungguh-sungguh kepada pengundi muda di mana hingga kini belum lagi membuat keputusan parti mana yang akan mereka undi. 

Banyak ramalan mengatakan majoriti pengundi kaum Cina akan memberi sokongan kepada Pakatan disebabkan isu-isu yang berbangkit, terutama isu ras dan agama, serta keadaan masa depan ekonomi negara, sementara pengundi kaum India belum dapat dipastikan lagi.

Pengundi Melayu, sama ada di bandar mahupun di luar bandar, menurut kajian sesetengah pihak, ada berlaku perubahan walaupun tidak sebesar mana. Iaitu mereka akan mengundi pembangkang di mana kubu kuat Umno-BN seperti di Johor, Sabah dan Sarawak dikatakan akan runtuh.

Ini disebabkan pelbagai isu, antaranya isu Felda, Lynas, isu Rapid Pengerang, merosotnya jumlah hak milik hartanah orang Melayu di Johor, kurangnya peluang perniagaan bagi orang tempatan, harga barangan keperluan harian naik berganda dan pelbagai lagi isu.

Dalam masa yang sama jumlah pengundi veteran, khususnya di luar bandar semakin merosot - ada yang telah meninggal dunia dan ada yang mengikut anak ke bandar.

Pengundi muda - kira-kira dua juta orang - berumur 21 hingga 30 tahun masih belum membuat keputusan untuk mengundi sama ada BN atau Pakatan Rakyat pada PRU akan datang. Ini menurut kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (Umcedel) baru-baru ini.

Menurut kajian tersebut, sebanyak 51 peratus pengundi muda (21-30 tahun) masih ‘tidak pasti’ sama ada akan memilih BN atau Pakatan Rakyat, manakala pengundi berumur 41-50 tahun pula 15 peratus, pengundi 31-40 tahun sebanyak 13 peratus, 51-60 tahun sebanyak 9 peratus dan 61 tahun ke atas sebanyak 12 peratus.

Menurut pengarah Uumcedel, Profesor Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman, jumlah tertinggi tersebut boleh dihubungkan dengan penemuan satu lagi di mana pengundi muda ini kebanyakannya adalah pengundi kali pertama yang baru mendaftar.

“Peratusan pengundi muda tidak pasti adalah yang paling tinggi,” katanya.

Lebih menarik lagi, menurut kajian tersebut, majoriti pengundi ‘tidak pasti’ ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti dengan sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM sebanyak 18 peratus manakala mereka yang berpendidikan STPM pula 15 peratus.

Majoriti pengundi berbangsa Cina, menurut kajian UMCEDEL lagi, cenderung memilih Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dengan sebanyak 61 peratus berbanding Dato' Seri Mohd Najib Razak yang hanya 35 peratus saja.

Menurut pendapat saya bahawa kira-kira 51 peratus pengundi muda yang hingga kini belum membuat keputusan itu dijangka memilih Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. Ada isyarat jelas yang dapat dibaca melalui Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka baru-baru ini yang menunjukkan majoriti pesertanya ialah golongan muda terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Himpunan yang terbesar dalam sejarah tanah air seingat saya itu, disertai oleh kira-kira 700,000 orang, iaitu kiraan pakar sains dan matametik, Prof Dr Shaharir Mohd Zain dari Universiti Malaya. Mereka datang dari seluruh Malaysia. Maknanya, peserta muda ini bukan saja mewakili bandar, khususnya Lembah Klang, bahkan juga dari luar bandar.

Pengundi muda ini yang majoritinya terpelajar, amat terdedah kepada pelbagai maklumat melalui media baru internet – pelbagai blog, web-site, twitter, Face-book, e-mel, SMS dan pelbagai lagi.

Media baru ini telah memukul jauh ke belakang media tradisional – akhbar dan TV milik Umno. Ini advantage yang sangat besar diperoleh oleh pembangkang yang selama ini berita mereka ‘digelapkan’ oleh media tradisional.

Walaupun pengundi muda kebanyakkannya tidak memperlihatkan partisan mereka, mereka adalah generasi yang sangat kritis, terutama isu pinjaman pengajian tinggi, isu rasuah, penyelewengan, kronisme, pemborosan, penipuan dalam pilihan raya, isu demokrasi, keadilan dan sebagainya.
Semuanya ini mendominasi pemikiran pengundi baru ini.

Mereka ini tidak terpengaruh dengan pelbagai bantuan dan habuan pelbagai bantuk daripada pemimpin BN terutama menjelang PRU akan datang kerana mereka percaya rakyat mempunyai hak untuk mendapatkannya. Jadi mereka bertanya, mengapa pula mesti ada rasa ‘terhutang budi’.

Dengan itu, Pakatan Rakyat boleh mnggantungkan harapan kepada pengundi muda ini. Maka itu, Pakatan perlulah memberi fokus utama kepada golongan ini.

Dalam masa yang sama Pakatan juga perlu memberikan perhatian berat kepada pengundi wanita kerana, menurut tradisi, pengundi wanita – khususnya di luar bandar - yang paling banyak mengundi Umno-BN.

Sementara itu, ada berita baik dari Selangor, negeri yang menjadi tumpuan BN untuk ‘merampasnya’ kembali dalam PRU akan datang, bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim percaya sebanyak 60 peratus rakyat di Selangor semakin meyakini Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat yang beliau terajui sejak Mac 2008.

Menurut beliau, kajian Kerajaan Negeri sejak Ogos lalu mendapati tahap kepercayaan rakyat terhadap beberapa kepimpinan BN di negeri Selangor merosot kepada 20 peratus. Menurut beliau, selama tiga bulan kerajaan negeri melakukan kajian.

Menurut Abdul Khalid, kajian terbabit mempunyai asasnya apabila kajian yang sama dilakukan oleh Umcedel, yang diumumkan baru-baru ini, yang mendapati sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin tinggi.

Dengan suasana yang ada, jelaslah PRU akan datang, adalah ‘ibu segala pilihan raya’ justeru pertarungan akan menjadi begitu sengit.

Apa yang diharapkan oleh rakyat ialah pilihan raya yang bersih dan adil. Ribuan pemerhati dari dalam dan luar negara akan datang menyaksikan perjalanan PRU13 nanti.

Tiada ulasan: