HALAMAN SANTAI

Khamis, 31 Januari 2013

RCI pendatang asing Sabah gagal heret ‘tangan ghaib’ – Fuziah

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) gagal mengheret ‘tangan ghaib’ yang terlibat dalam pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah.

Katanya, ini kerana RCI itu hanya memfokuskan kepada operasi tetapi tidak menyiasat individu yang bertanggungjawab.

“Kalau mengikut laporan RCI yang sedang berlangsung sekarang, kita dapati perkara-perkara yang disiasat hanya pada permukaan, seolah-olah melepaskan batuk di tangga,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu ketika dihubungi.

“RCI tak selidik siapa yang bertanggungjwab, contohnya penglibatan Setiausaha Politik Dr Mahathir, Abdul Aziz Shamsuddin. Ia membuktikan wujud ‘tangan ghaib’ yang mengarahkan semua itu,” jelasnya.

Menurut Fuziah, pendedahan tersebut merupakan isu besar, namun melihat kepada perjalanan RCI di Kota Kinabalu, ia tidak akan menjurus ‘tangan ghaib’ tersebut.

“Saya yakin operasi pemberian IC tersebut melibatkan pengkhianatan oleh pihak tertinggi kepada rakyat Malaysia,” katanya.

“Saya seru agar pihak RCI gunakan prosiding tersebut untuk selidik siapa sebenarnya yang memberi arahan tersebut. Gali isu ini, bukan hanya fokus kepada pegawai-pegawai di bawah yang terlibat,” katanya lagi.

RCI memulakan prosiding pada 14 Januari lalu dengan menampilkan 48 saksi.

Sehingga kini, pelbagai pendedahan oleh saksi, antaranya, penglibatan dua orang kanan Mahathir, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan Tan Sri Aziz Shamsuddin dalam pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.

Semalam, pegawai polis cawangan khas (SB), DSP Badaruddin Ismail memberitahu, bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ramli Kamaruddin menjual 16,000 resit JPN dengan nilai RM1 juta.

Selain itu, turut didedahkan bagaimana warga Pakistan, Prabesh Khan Hussein boleh mendapat kerakyatan Malaysia dalam masa 20 hari dengan hanya bayaran RM330.

Tiada ulasan: