Roketkini.com
IPOH: Keputusan Kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek kontroversi kondominium mewah 26 tingkat berhampiran Batu Caves yang diluluskan ketika pentadbiran UMNO-Barisan Naisonal (BN) adalah bukti komitmen Pakatan Rakyat (PR) terhadap keselamatan rakyat dan alam sekitar.
Menurut Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M Kulasegaran, keputusan Kerajaan Selangor itu amat dialu-alukan dan tepat pada masanya.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berjanji jika BN menang semula di Selangor, beliau akan hentikan projek itu. Ini janji tidak jujur.
“Bagaimanapun, beliau lupa bahawa BN juga yang meluluskan projek ini melalui Ahli Majlis yang dilantik mereka,” ujar Kulasegaran ketika sambutan Thaipusam baru-baru ini.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga mahu BN memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negeri Selangor kerana keputusan mereka meluluskan projek berkenaan sambil menggesa agar tindakan disiplin dikenakan ke atas pegawai terbabit.
“Kalau BN masih memerintah, projek ini mungkin diteruskan. Mujurlah PR diberi mandat. Ini menunjukkan rakyat Selangor membuat keputusan yang tepat dan bijak,” katanya.
Ketika berucapan pada malam sambutan Thaipusam di Batu Caves, Sabtu lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembatalan projek kondominium itu bertujuan memastikan pembangunan di kawasan itu dijalankan secara betul dan terancang.
“Kerajaan Negeri memang tidak akan bertolak ansur terhadap pembangunan itu. Kita mahu pembangunan di Batu Caves itu dibuat dengan betul supaya kaum India dapat merasa pembangunan yang tidak ada masalah dari segi kelulusan dan kuil ini terus dijaga beratus tahun,” ujar Abdul Khalid.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan