HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 Januari 2013

Siasatan RCI Sabah sandiwara Najib, Gani Patail?

Roketkini.com



KUALA LUMPUR: Keikhlasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal pemberian kad pengenalan kepada pendatang tanpa izin di Sabah dipertikaikan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, persoalan yang ditimbulkan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zin Ibrahim patut diberi perhatian apabila menganggap siasatan RCI itu sebagai “usaha sia-sia” dan sandiwara Najib dan Abdul Gani untuk mengaburkan mata rakyat.

Katanya, ini kerana tiada satu pun daripada lapan syarat RCI bertujuan mengenalpasti dalang di sebalik tindakan pengkhianatan terhadap negara atau bagi RCI mencadangkan sebarang tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

“Setakat ini, tiada jawapan terhadap tuntutan Mat Zain supaya Ketua Polis Negara (KPN) membuka kertas siasatan berikutan pendedahan di dalam RCI bahawa Megat Junid Megat Ayob dan Abdul Aziz Shamsuddin terbabit di dalam Ops Durian Buruk yang dianggap penderhakaan dan pengkhianatan peringkat tertinggi,” kata Kit Siang dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 73 Hari ke PRU-13, semalam.

Mat Zin merujuk kesnya sendiri pada Jun 2000, ketika beliau mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, mengatakan pihak polis memulakan siasatan ke atas Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir sejurus selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan  pada hari bekas Ketua Pengarah Biro Pencegahan Rasuah, Shafee Yahaya mengemukakan buktinya pada perbicaraan sivil, memetik penyalahgunaan kuasa PM ketika itu yang menutup siasatan terhadap bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Ali Abul Hassan.

Menurut Mat Zain, apa yang beliau mahu tekankan adalah penyiasatan polis dilakukan segera, tanpa perlu menunggu perbicaraan tamat atau keputusan dibuat mahkamah, begitu juga pendedahan RCI Sabah, KPN tidak perlu menunggu lampu hijau daripada sesiapa untuk menyiasat perkara itu.

“Malah, KPN sepatutnya mengumumkan serentak apa yang polis akan lakukan sebaik sahaja maklumat itu didedahkan,” kata Mat Zin

Mat Zain berkata: “Kini bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin dan bekas Ketua JPN Tamparuli, Yakup Damsah telah membabitkan Megat Junid dan Abdul Aziz, kedua-duanya diketahui sebagai orang kanan Dr Mahathir ketika itu, juga pendedahan Ops Durian Buruk antara 1992-1995 oleh Mohd Nasir Sugip, polis sepatutnya melakukan siasatan penuh.

“Pihak polis tidak perlu menunggu RCI tamat atau lengkapnya laporan RCI. Pihak polis tidak perlu menunggu sesiapa membuat siasatan polis sebelum bertindak. Pihak polis boleh dan perlu bertindak sendiri. Pendedahan yang dibuat terlalu dahsyat untuk diterima.

“Ini merupakan penipuan, penderhakaan dan pengkhianatan peringkat tertinggi yang telah mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” jelasnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Mat Zain mempertikaikan sama ada kurangnya tindakan polis terhadap pendedahan RCI Sabah mengenai jenayah penipuan, penderhakaan dan pengkhianatan itu adalah kerana usahasama Najib dan Abdul Gani untuk melindungi pengkhianat sebenar di dalam Ops Durian Buruk dan skandal “kewarganegaraan-untuk-undi”.

Katanya, Mat Zain juga bertanya sama ada saksi yang memberi “testimoni sensasi” merupakan orang yang terbabit diberi jaminan dan perlindungan bahawa tindakan tidak akan diambil ke atas mereka di mahkamah atau mereka tidak akan berani membuat pendedahan mengejutkan tanpa rasa khuatir akan didakwa atau dihantar pulang ke negara asal.

“Adakah Mat Zin benar apabila mengatakan: “Apa yang kita lihat adalah permulaan sandiwara dengan Abdul Gani memainkan peranan seperti mana dia lakukan di dalam RCI mata lebam, RCI VK Lingam dan RCI Teoh Beng Hock” Rakyat Sabah dan Malaysia akan mencari jawapan bagi soalan Mat Zain apabila bersambungnya pendengaran awam RCI Sabah, esok,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: