Tidak pernah lagi kita mempunyai
seorang Perdana Menteri yang paling ‘controversial’ dalam sejarah negara seperti
yang kita ada sekarang. Tidak juga mengalami keadaan parti pemerintah yang
paling lemah dan paling mahal untuk di kekalkan. Rakyat terpaksa menanggung
beban yang terlalu mahal dan ia boleh di ibarat kan sebagai ‘mahal rantai dari beruk’. Harga
beruk-beruk nya tidaklah berapa mahal tetapi harga rantai nya yang lebih mahal.
Masalah bukan sahaja hinggap
kepada batang tubuh Perdana Menteri itu sahaja tetapi juga kepada ahli-ahli
keluarganya sekali, terutamanya isteri beliau sendiri. Isterinya telah
menghadapi sebegitu banyak masalah dan isu termasuklah isu-isu yang berkaitan
dengan jenayah seperti yang di sebarkan oleh ramai di seluruh negara.
Kalau hendak di ikut etika
kepimpinan negara demokrasi yang sebenarnya, Najib sepatutnya meletakkan
jawatan kerana dalam demokrasi itu semangatnya wajar di berikan perhatian.
Demokrasi bukan sahaja isu menang kalah dalam pilihanraya tetapi ia juga
melibatkan moral itu sendiri. Apabila seseorang pemimpin utama menghadapi
isu-isu yang besar dan menjadi bualan rakyat ramai, ia merupakan petanda dan
permulaan bagi sesebuah negara itu hancur dan hilang ketamaddunnya secara
beransur-ansur.
Inilah yang dihadapi UMNO tetapi
inilah juga sebabnya parti ini hilang keyakinan ramai sekarang ini.
Sesungguhnya UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling hebat dalam
ingatan sejarah negara dan situasinya sudah sampai ketahap parti itu sudah
menjadi ejekkan ramai. Dahulu UMNO boleh mencari ganti dengan mudah dikalangan
pimpinan tertinggi dalam Majlis Tertinggi untuk mendapatkan gantiannya. Tetapi
sekarang tiada siapa walaupun seorang dari ahli-ahli Majlis Tertinggi itu layak
untuk dipanggil dan dijadikan sebagai Perdana Menteri.
Untuk menjadi Perdana Menteri
sekarang ini, seorang itu memerlukan ketokohan dan keperibadian yang tinggi dan
datangnya dari keluarga yang baik dan terhormat untuk memulakan kembali
pembaharuan terhadap pembinaan negara kita ini. Seseorang yang perlu di pilih
sekarang ini tidak semestinya datang dari parti-parti yang bertanding dan
mendapat kemenangan, tetapi yang lebih penting peribadi orang itu mesti setaraf
dengan keperibadian pemimpin negara yang berdaulat dan merdeka.
Memimpin negara bukan setaraf
memimpin sebuah persatuan sepak takraw. Kita selama ini telah terlalu hanyut
dengan budaya dan sistem pemilihan seorang Perdana Menteri yang lazim kita
lakukan sejak dahulu. Saya telah beberapa kali menulis dalam hal ini. Kita
bukan tidak hormat pada sesiapa tetapi kita lebih mahu melihat negara ini di
tadbir dan memulakan kembali pembinaannya oleh seorang yang berkeperibadian
yang tinggi, berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk menyatukan negara dan
rakyat.
Rakyat serta parti-parti dalam negara
ini mesti memulakan usaha untuk mencari dan mendapatkan seorang yang mampu
untuk memulakan perundingan dan perbincangan bagi membina struktur keperluan
negara. Kita sudah tidak mahu lagi bercakap tentang siapa yang kuat dan siapa
yang lemah atau siapa yang boleh membawa pembangunan fisikal terhadap negara
kita. Kita mahu segala pembangunan negara itu melintasi semua keperluan hidup
dan lebih baik pembangunan itu berteraskan kepada premis yang benar-benar boleh
menjadikan negara kita sebuah negara yang bersatu di antara semua kaum.
Kita sudah letih dengan sikap
pimpinan yang tidak berkualiti memimpin kita. Kita tidak mahu lagi mendengar
seorang Perdana Menteri mencabuli perjuangan negara itu sendiri. Kita tidak
mahu menyaksikan seorang Perdana Menteri itu meniupkan kebencian di antara kaum
seperti yang di buat oleh Najib beberapa hari yang lalu. Najib telah meniupkan
perasaan kebencian kaum dengan berkata satu undi untuk DAP itu adalah undi
untuk menekan orang Melayu dan sebagainya.
Kita tidak mahu mendengar PM kita
berkata satu undi untuk PAS itu merupakan undi untuk memecahkan orang Melayu
dan Islam. Kita tidak mahu seorang PM yang tidak ‘magnanimous’ lagi seperti
Najib dan tidak juga mahu mendengar kata-kata ‘chauvinistik’ seperti yang
keluar dari mulut seorang pemimpin seperti Dr Mahathir. Mereka ini hanya
memerlukan kuasa tetapi tidak tahu untuk menggunakan kuasa untuk melakukan
kebaikan.
Kita tidak lagi mahu menerima
pemimpin yang menggunakan kedudukan dan pengaruh jawatan mereka untuk
kepentingan peribadi serta anak pinak dan ipar duai mereka sahaja. Sampai bila
kita hendak menunggu keamanan dan ketelusan seorang pemimpin yang mampu
mentadbir negara seperti yang kita alami semasa sebelum pemerintahan Dr
Mahathir dahulu. Kita bukan tidak pernah merasakan nikmat kepimpinan seperti
yang di sebutkan ini. Tetapi generasi yang baru ini tidak berkesempatan untuk
merasakannya kerana zaman itu sudah berlalu begitu lama.
Benih-benih untuk kita kembali ke
zaman itu sudah mula menyubur di Pulau Pinang dan Selangor serta
negeri-negeri tadbiran pembangkang sekarang ini. Hanya yang perlu kita lakukan ialah
untuk menyuburkan benih ini sehingga seluruh negara dan kita lakukannya dalam
PRU yang akan datang untuk mendapatkan kesempatan ini.
Keadaan baik yang berada di
negeri-negeri yang saya sebutkan tadi adalah ‘real’ dan itu sebabnya UMNO dan
BN cuba
untuk mencela negeri-negeri ini kerana takutkan kehilangan kuasa di Putrajaya
dan negeri-negeri tadbiran BN sekarang ini. Di negeri-negeri ini tiada yang
baik bagi UMNO tetapi rakyat yang tahu yang negeri-negeri ini telah berjaya
melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan semasa BN memerintah
negeri-negeri ini.
Kita tidak mahu pemimpin ‘populis’
untuk menjadi pimpinan utama kita kerana negara tidak akan dapat bertahan jika
kita hanya bersandarkan kepada pemimpin yang ‘popular’. Kita mesti mecari
seorang teknokrat dan seorang ‘planner’ yang berkemampuan untuk melakukannya
dan hanya mempunyai agenda untuk negara. Jika seorang pemimpin menyelitkan
agenda peribadinya sekali ia tidak akan dapat untuk membuat keputusan yang baik
dan sampai bila negara akan menghadapi masalah-masalah yang datangnya dari
pemimpin itu sendiri.
Itulah yang berlaku sekarang ini.
Semua masalah itu datangnya dari masalah hasil dan perbuatan pemimpin negara
yang lemah dan tidak mengetahui kenapa dan bagaimana mereka berada di atas itu.
Rakyat perlu melakukan tindakan
yang benar-benar ‘decisive’ kali ini. Ia perlu dilakukan semata-mata untuk
negara dan generasi kita yang akan datang. UMNO yang telah memerintah kita
sebegitu lama telah gagal samasekali untuk membentuk kepimpinan yang ‘viable’
untuk negara. Tidak ada siapa di kalangan
pimpinan di dalam Majilis Tertinggi itu mempunyai ‘material’ untuk menjadi
Perdana Menteri.
Kerana apa fenomena itu
berlaku?...kerana begitu lama mengamalkan budaya menolak keluar mereka yang
berkepimpinan. Lagi tidak berkepimpinan lagi mudah mereka berada di dalam
barisan Majlis Tertinggi itu. Mereka yang berkepimpinan telah di ketepikan
sejak Dr Mahathir mengambil alih kepimpinan negara dahulu.
Mahathir tidak gemar dengan
mereka yang berkepimpinan kerana ia akan menyusahkan beliau untuk melakukan
segala tindakan yang beliau suka. Mahathir hanya selesa apabila dikelilingi
oleh mereka yang hanya pandai mengangguk dan memuja beliau sahaja.
Sikap dan budaya inilah yang
telah subur dalam UMNO sampai ke hari ini. Akhirnya UMNO tidak lagi mempunyai
kepimpinan yang ‘viable’. Yang tinggal hanyalah
mereka yang pandai beretorik dengan slogan besar-besar tanpa mengetahui apa
yang mereka lakukan.
Yang binasa rakyat dan negara.
Seperti seruan saya selalu, ‘let us start the nation anew’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan