PETALING JAYA : KEADILAN mendedahkan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) merupakan skim penipuan ilham Pemuda Umno.
Skim itu digunakan sebagai ruang mengaut keuntungan dan menindas pengusaha institut memandu.
Bercakap pada sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang berkata, melalui skim itu, yuran ujian memandu dikurangkan dari RM261 kepada RM199.
Dedahnya, kerajaan langsung tidak mengeluarkan sebarang dana, malah pengurangan sebanyak RM62 (RM261 kepada RM199) terpaksa ditanggung sendiri oleh pengusaha institut memandu.
“Setelah meneliti dokumen dan maklumat berkaitan, kami dapati BL1M merupakan satu penipuan.
Program ini bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengkayakan kroni Umno,” kata Lih Kang di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi ini.
BL1M dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 31 Januari lalu anjuran Pemuda Umno.
Dikatakan, melalui program tersebut, beban golongan belia yang ingin memiliki lesen motosikal (kelas B2) akan dikurangkan.
Dedah Lih Kang lagi, MYEG Services Berhad dilantik bagi mentadbir dan melaksanakan program itu.
“Antara pemegang saham dalam MYEG termasuklah syarikat Asia Internet Holdings Sdn Bhd. Salah seorang pemilik Asia Internet Holdings merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung dari 1997 hingga 2004 iaitu, Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha,” kata Lih Kang.
“Yuran RM199 yang dibayar kepada MYEG tidak diberikan sepenuhnya kepada pengusaha institut memandu. Menurut surat yang dikeluarkan oleh Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), MYEG hanya menawarkan RM100 kepada institut memandu, dan RM99 kepada kepada MYEG,” jelas Lih Kang.
“Ini bermakna para pengusaha terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM161 (dari RM261 kepada RM100) untuk menyediakan lesen kepada peserta BL1M,” katanya.
Pengusaha tolak tawaran Pemuda Umno
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu, melalui proses ujian memandu MYEG hanya menyediakan ujian undang-undang berkomputer berjumlah RM17, dan sekiranya peserta berjaya lulus ujian dalam cubaan pertama, MYEG akan mendapat keuntungan bersih sebanyak RM82 (RM99-RM17).
“Jika sasaran Umno tercapai, iaitu seramai 500,000 anak muda menyertai program itu, MYEG akan mendapat keuntungan puluhan juta dalam sekelip mata,” katanya.
Pendaftaran bagi program itu dimulakan pada 1 Februari lalu dan sepatutnya tamat pada 15 Februari tetapi dilanjutkan sehingga 1 Mac. Sehingga 15 Februari, seramai 103,000 pemohon memohon.
Bagaimanapun, menurut Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail, Pima tidak bersetuju dengan tawaran yang dibuat Pemuda Umno dan kerajaan, malah menolak pelaksanaan program yang akan merugikan para pengusaha itu.
“Jadi apa status 103,000 pemohon yang telah membayar yuran? Pemuda Umno dapat wang dan masukkan terus ke akaun MYEG, tetapi pembelajaran tidak akan bermula selagi pengusaha institut memandu tidak mahu melaksanakan program itu,” kata Aishah.
“Kita tuntut penjelasan terperinci dalam kadar segera dari Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, dan Perdana Menteri berhubung isu ini,” kata Aishah lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan