HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mac 2013

DUN Negeri Sembilan bubar secara automatik tengah malam Rabu, kata MB

THE MALAYSIAN INSIDER
 
 Datuk Seri Mohamad HasanKUALA LUMPUR, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan terbubar pada tengah malam Rabu secara automatik selepas tempoh penggal selama lima tahun berakhir. Jika ini berlaku, ia merupakan DUN yang pertama di negara ini dibubarkan secara automatik selepas pilihan raya umum 2008.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selepas DUN terbubar, beliau dan ahli majlis mesyuarat negerinya (Exco) akan meneruskan tugas sebagai penjaga kerajaan negeri, seperti ditetapkan perlembagaan negeri.

“Saya akan terus kekal sebagai Menteri Besar, dan bersama saya adalah para Exco, yang akan mengendalikan kerajaan dari hari ke hari,” kata Mohamad dipetik dari lamanThe Star Online.

“Perlu ada penjaga kerajaan kerana kita perlu membayar gaji dan melihat beberapa perkara sepanjang tempoh itu... tanpa penjaga kerajaan, akan adanya anarki,” tambah beliau lagi.

Seramai 36 ahli DUN (ADUN) mengangkat sumpah pada 27 Mac, 2008 selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan Negeri Sembilan sebagai negeri di bawah kekuasaannya.


Sidang DUN buat pertama kalinya diadakan pada 25 April, 2008.

Semalam, Mohamad mengatakan kerajaan Negeri Sembilan sedia ada masih sah mengikut sistem demokrasi berparlimen atau Westminster yang diamalkan di negara ini, walaupun selepas DUN terbubar secara automatik pada Selasa.

Menurut Mohamad, menerusi sistem tersebut, kuasa pemerintahan sama ada negeri atau persekutuan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perundangan, kehakiman dan pentadbiran atau eksekutif.

Katanya jika DUN mencapai tempoh genap lima tahun, hanya perundangan iaitu kuasa oleh wakil rakyat yang akan terbubar sementara kehakiman dan pentadbiran masih ada dan perlu dijalankan.

“Kita mengamalkan pemisahan kuasa dan apabila sampai tarikh itu (26 Mac) hanya DUN iaitu perundangan yang akan terbubar tapi eksekutif dan kehakiman masih ada,” katanya seperti yang dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama.

Tiada ulasan: