Lokman mengakui dirinya pernah dilantik
sebagai penasihat kerabat Sultan Sulu yang sebenar iaitu Sultan
Roodinood oleh kerajaan Malaysia.
PETALING JAYA: Exco Pemuda Umno Lokman Noor Adam menafkan mempunyai kaitan dengan pemimpin Tentera Diraja Kesultanan Sulu yang mendakwa dirinya sebagai ketua kerajaan Kesultanan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III.
Lokman mengakui dirinya pernah dilantik sebagai penasihat kerabat Sultan Sulu yang sebenar iaitu Sultan Roodinood, anak kepada Sultan Julaspi Kiram sekitar tahun 2005 sehingga 2006.
Ketika itu, katanya beliau dilantik kerajaan Malaysia menjadi ‘orang tengah’ dalam urusan menghulurkan bantuan kebajikan kepada kerabat Sultan Roodinood Julaspi Kiram yang hidup dalam kesempitan.
Katanya, bantuan kebajikan itu meliputi lain-lain hal selain daripada RM5,300 bayaran penyerahan (cession money) yang dibuat kepada waris Sultan Sulu.
Katanya, beliau pernah berjumpa dengan Sultan Roodinood hanya sekali ketika pertemuan rasmi bersama Menteri Luar Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar di Wisma Putra di Putrajaya pada tahun 2006.
“Kerabat Sultan Roodinood hidup susah di Manila. Mereka tidak berduit dan saya ketika itu ditugaskan berbincang dengan kedua-dua belah pihak untuk membantu mereka,” katanya ketika dihubungi.
Namun, menurut Lokman perbincangan itu menemui jalan buntu dan sejak itu beliau tidak pernah berjumpa lagi dengan Sultan Roodinood, malah mengakui tak pernah dibayar elaun untuk tugas sukarela yang dibuatnya.
`Kad nama bagi urusan rasmi’
“Saya juga akui pernah mencetak kad nama jawatan tersebut bagi urusan rasmi dengan Kerajaan Malaysia, boleh rujuk Tan Sri Syed Hamid kalau nak sahkan,” katanya.
Namun tegasnya, Sultan Roodinood tiada sebarang kaitan dengan Sultan Jamalul Kiram yang menjadi dalang pencerobohan di Sabah ketika ini.
Beberapa dakwaan dalam laman sosial sejak tadi menyiarkan kad bisnes Lokman sebagai penasihat Kesultanan Sulu sekaligus mengaitkannya dengan Sultan Jamalul Kiram III.
“Kalau ada kena mengena dah lama polis panggil saya,” katanya.
Lokman menjelaskan, Sultan Julaspi Kiram adalah orang yang bertanggungjawab membuat kenyataan menyokong Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963 dan ianya terbit di muka depan akhbar Malaysia dengan tajuk “Sultan Sulu Restu Sabah Sertai Malaysia”.
Yang di Pertua Sabah, Tun Datu Mustapha Harun sekitar tahun 1959 telah ke Sulu menyelamatkan Sultan Julaspi Kiram yang ketika itu diancam bunuh oleh kerabatnya sendiri kerana perebutan takhta.
“Sepanjang tempoh saya mengenali Sultan Roodinood, beliau tinggal di Manila dan bukan di Sulu tempat Sultan Palsu (Jamalul Kiram III) yang menyerang negara kita,” ujar Lokman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan