KUALA LUMPUR- Gerakan Tuntutan Pemandu Teksi (Teksi) mempertikaikan cara kerajaan memberikan lesen individu kepada pemandu teksi baru-baru ini, yang dianggap sebagai gimik politik.
Ia memandangkan pemberian lesen itu perlu diiklankan terlebih dahulu agar semua pemandu teksi mendapat manfaatnya.
Pengerusi Teksi, Mohd Ridzwan Mohd Daud, berkata biarpun pemberian lesen individu itu dialu-alukan, namun pemberian yang dilakukan ketika ini tidak memberikan manfaat kepada semua pemandu.
"Ini kerana ia tidak diiklankan kepada umum, dan hanya sebahagian pemandu teksi yang mendapat lesen tersebut, itupun selepas memohonnya sejak 2010," dakwa beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Tambah beliau, jika kerajaan benar-benar prihatin dengan nasib pemandu teksi di negara ini, perkara ini (lesen individu) sudah lama perlu diberikan.
Sebaliknya, kata beliau sebarang permohonan untuk mendapatkan lesen individu ini telah dibekukan sejak tiga tahun lepas.
"Mengapa baru sekarang diberi? Ketika boleh dikatakan waktu 'lampu merah?' Itupun tanpa pemberitahuan umum. Adakah untuk memancing undi?" soal beliau lagi.
Sebelum ini, beliau bertindak melancarkan kempen menuntut permit individu terhadap kerajaan, menyerahkan memorandum ke parlimen dan mengadu kepada pimpinan Pakatan Rakyat.-harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan