KUALA LUMPUR : Tawaran Pakatan Rakyat untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) amat dialu-alu mahasiswa, kata aktivis mahasiswa, KS Bawani.
“Semua tawaran untuk mahasiswa dalam Manifesto Pakatan sudah lama dituntut mahasiswa. Manifesto tersebut sangat berkesan untuk membela kebebasan mahasiswa,” kata mahasiswi Undang-undang Universiti Utara Malaysia itu ketika dihubungi.
Pakatan menawarkan penghapusan PTPTN dan memberi pendidikan percuma kepada pelajar termasuk yuran pengajian tinggi di semua institusi awam ditanggung kerajaan.
“Itu paling kita setuju. Mekanismenya dengan memiliknegarakan PTPTN dan menukar kepada biasiswa,” saran Bawani.
Manifesto itu turut menyebut tentang pemansuhan Auku dalam tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan dan menjamin kebebasan akademik kepada cendekiawan, pemikir, kakitangan dan pelajar di semua institusi pengajian seluruh negara.
Mengulas perkara itu, Bawani berkata, Auku yang menyekat kebebasan akademik patut dihapus dan pindaan kepada pentadbiran universiti juga perlu dilakukan.
“Pemilihan pentadbir universiti perlu melalui pemilihan seperti memilih perwakilan pelajar. Melalui pentadbiran yang terpengaruh dengan kuasa besar punca kebebasan pelajar disekat. Ia turut menyebabkan pemilihan wakil pelajar juga tidak telus,” kata Bawani lagi.
“Walaupun ada pindaan untuk membenarkan mahasiswa berpolitik, masih ada sekatan untuk mahasiswa bebas bersama NGO dan aktiviti politik. Justeru tawaran untuk memansuhkan Auku sangat tepat dan dinanti-nantikan,” kata Bawani.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan