HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Mac 2013

Nik Nazmi guna akta kebebasan maklumat selesai isu padang PKNS

Oleh Norutul Ilham

KELANA JAYA : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad akan menggunakan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) sebagai jalan penyelesaian bagi mendapatkan status terkini padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), di Kelana Jaya.

_MG_4863

Katanya, kaedah itu akan digunakan untuk menyemak dokumen berkenaan perkara itu.
Tindakan itu dibuat berikutan rakyat sekitar berharap projek komersil di atas tanah padang tersebut dibatalkan.

“Saya akan tulis surat untuk dapatkan dokumen PKNS, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Unit Perancangan Bandar dan Desa, Majlis Sukan Negeri dan Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Tanah.

“Saya akan gunakan akta kebebasan maklumat bagi mengakses butiran maklumat. Ia untuk mendapatkan kepastian supaya tidak timbul isu lagi,” kata Nik Nazmi pada sidang media di perkarangan parkir padang PKNS hari ini.

Isu ini timbul apabila PKNS bercadang untuk menaiktaraf padang tersebut sebagai pusat komersil, tetapi mendapat bantahan penduduk.

Bagaimanapun, Kerajaan Selangor yang bertindak cepat ekoran bantahan itu mengadakan pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).
Ia bagi mendapatkan status sebenar tanah berkenaan yang menimbulkan keraguan.

Hasil penelitian mendapati, permohonan Pembangunan Rancangan Tanah PKNS Kelana Jaya meneliti punca bahawa terdapat cetakan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) versi MBPJ yang menandakan “zoning” padang PKNS tersebut sebagai kawasan komersil, bercanggah dengan status “zoning” sebenarnya.

Cetakan itu mendorong PKNS membuat permohonan untuk membangunkan kawasan berkenaan. Namun usaha itu mendapat bantahan penduduk yang menyedari terdapat cetakan Jabatan Perancangan Bandar dan Daerah (JPBD) mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tanah lapang dan rekreasi sepertimana diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Ogos 2010.

“Menteri Besar ada umumkan perkara ini di sidang DUN. Beliau kena tunggu keputusan Lembaga Rayuan dahulu dalam isu ini.

“Saya akan perincikan dokumen sebelum kita putuskan sama ada untuk teruskan tindakan selanjutnya atau bagaimana,” jelas Nik Nazmi depan 30 penduduk.

Hadir sama sidang media itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Selamatkan Padang Rakyat, Datuk Zul Mukhsar Md Shaari.

Tiada ulasan: