Mohd Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Pendedahan rakaman Global Witness berkaitan rampasan tanah dan penyalah guna kuasa yang dilakukan Tan Sri Taib Mahmud baru-baru ini, hanya sebahagian kecil kezaliman Ketua Menteri Sarawak itu.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari, berkata rakaman itu hanya mendedahkan urus niaga membabitkan Singapura sedangkan Taib Mahmud juga diyakini mengadakan urusan sama Hong Kong dan Jepun.
“Urus niaga itu bertujuan mengelak cukai perolehan tanah seperti yang didedahkan Global Witness. Nilai wang haram yang mengalir keluar bukan sedikit tetapi cecah bilion ringgit.
“Jenayah kewangan seperti inilah punca kejatuhan ekonomi negara. Taib Mahmud patut sudah lama ditumbangkan kerana ia bukan sahaja merosakkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga menggadai hak tanah peribumi,” katanya kepada Keadilan Daily.
Nazib berkata, Taib Mahmud juga tidak wajar menuding jari kepada pihak lain berikutan pendedahan Global Witness kerana jenayah itu disebut sepupunya sendiri, Fatimah Abdul Rahman.
“Awalnya Taib Mahmud salahkan bapa saudaranya, Tun Abdul Rahman Ya’kub dan anak perempuannya. Kemudian tuduh Global Witness diperalat Ketua Umum KEADILAN.
“Akhirnya, individu terakhir yang dipersalah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan harapan rakyat terus percaya tapi ia tidak berlaku,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan