Fareez K Intidzam menggesa penyokong Dr Wan
Azizah berhenti mencanang konspirasi untuk mengait, membeban dan
menyalahkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali
PETALING JAYA: Fareez K Intidzam yang mendakwa pegawai kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bertindak sendirian mendesak Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan sebagai Presiden PKR.
Beliau menggesa semua pihak, terutama penyokong Dr Wan Azizah berhenti mencanang konspirasi untuk mengait, membeban dan menyalahkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Katanya, tindakan ini atas inisiatif sendiri, semata-mata demi kepentingan PKR.
“Andai saya tidak mengambil keputusan ini, saya yakin pastinya Dr Wan Azizah akan mendiktatorkan kuasanya selaku presiden dengan sewenangnya untuk memecat saya – dan ini pastinya boleh dilakukan tanpa masalah kerana ramai pimpinan dan ahli masih belum sedar apa yang berlaku.
“Namun, kini sebaliknya berlaku dan mereka menuntut penjelasan,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini.
Fareez mendakwa beliau adalah Pegawai Diplomasi Sulit (Antarabangsa) kepada Anwar, bagaimanapun ketua pembangkang itu menafikannya.
Beliau menambah, memecat beliau mungkin memerlukan Dr Wan Azizah berfikir semula kerana beliau sendiri sedar akibat kepercayaan tinggi yang diberikan Anwar kepadanya (Fareez).
Menurutnya, sepanjang berkhidmat secara rahsia selama ini, pengetahuan dan akses terhadap semua maklumat dan dokumen sulit adalah tinggi dan tidak terbatas.
“Sama ada ia melibatkan masa depan parti, pimpinan mahu pun kepentingan Ketua Umum (Anwar) sendiri.
“Keputusan untuk saya memohon campur tangan dari pimpinan Pakatan lain didasari atas kesedaran bahawa tindakan Dr Wan Azizah berniat menyingkirkan dan memburukkan hubungan rapat dengan Anwar sudah di tahap melampau – sama ada secara professional melalui konspirasi pemecatan tugas selaku Pegawai Diplomasi Sulit (Antarabangsa) dan ahli Keadilan, mahupun secara personal, dengan memburukkan imej dan moral saya secara umum,” katanya.
Azmin lebih lengkap
Fareez mengulangi Azmin jauh lebih lengkap berbanding Presiden sedia ada.
Beliau juga berkata, PKR adalah ‘pemain utama’ dalam Pakatan, dan sebagai parti tonggak, parti ini tidak layak dipimpin oleh seorang Presiden yang lemah, hipokrit dan ‘penuh dengan prejudis’.
Katanya, kepentingan parti adalah keutamaan dan undian Majlis Pimpinan Pusat PKR harus diadakan segera.
Hakikatnya, tambah beliau akar umbi parti terutama pimpinan dan ahli muda sendiri sedar bahawa demi masa depan perjuangan parti dan kelangsungan pimpinan pelapis selagi Dr Wan Azizah nepotisme akan terus berlaku.
Sehingga kini, Fareez berkata beliau masih komited bersama perjuangan PKR, walaupun sedar risiko dipecat atas tindakan ini.
Pemecatan adalah bukti ketegasan Parti, namun dipecat oleh Presiden yang lemah dan proksi adalah suatu penghinaan kepada perjuangan parti, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan