ASPAN ALIAS
Najib sedang berhadapan dengan
satu lagi tekanan, iaitu berhubung dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa
oleh Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak. Pembanterasan rasuah merupakan salah
satu daripada NKRA yang dilaung-laungkan oleh pentadbiran Najib sejak beliau
mengambil alih jawatan dari Abdullah Badawi. Video Global witness yang tersebar
luas tidak boleh menyorokkan apa yang sedang berlaku dalam pentadbiran Taib
Mahmud, dan itu pun persepsi lama rakyat terhadap Ketua Menteri tertua dan
terlama sekali mentadbir sesebuah kerajaan negeri itu.
Rakyat sedang menunggu tarikh
pilihanraya untuk membuat penentuan dan isu ini sudah tentu menjadi isu yang
boleh mempengaruhi sikap pengundi dalam pilihanraya yang akan datang tidak lama
lagi ini. Sejak akhir-akhir ini BN sedng menghadapi terlalu banyak isu yang
bakal membawa malapetaka kepada kerajaan yang diterajui BN ini.
Dalam pilihanraya negeri tahun
lepas Najib telah berjanji akan menyediakan pelan persaraan Taib Mahmud tetapi
sekarang janji-janji beliau itu tetap tinggal janji dan Taib masih melakukan
apa yang sangat dibenci dan diisukan oleh rakyat sekian lama. Apa yang berlaku
yang terlihat di dalam video Global Witness itu adalah satu perkara yang tidak
mengejutkan sesiapa. Video itu hanyalah menambah keyakinan dan bukti yang
tuduhan rakyat terhadap BN sebagai parti yang terlalu sarat dengan rasuah dan
salah guna kuasa itu seratus peratus benar.
Di mana-mana Ketua Kerajaan
demokrasi di seluruh dunia mengambil etika dan nilai demokrasi itu sebagai
elemen terbesar dalam sesuatu pentadbiran kerajaan. Jika tahap demokrasi sebuah
negara itu tinggi pemimpin seperti Taib ini sewajarnya berhenti secara sukarela
dan jika tidak berhenti, maka kuasa yang lebih besar wajar memaksa Taib untuk
berundur sehingga penyiasatan ke atas beliau selesai.
Sesungguhnya Taib sudah tidak
wajar lagi untuk menjadi Ketua Menteri lebih lama dan beliau sepatutnya
mempunyai maruah dan berhenti sahaja dari jawatan beliau selaku Ketua Menteri
Sarawak. Jika Najib tidak mampu untuk meminta Taib berhenti dan bersara, maka
Najib pula lah yang terpaksa membuktikan kesungguhan beliau dalam isu memerangi
rasuah ini..
Jika Taib masih berada di tampuk
kuasa dan tidak mahu berundur maka Najib terpaksa mengambil ‘accountability’
dan beliau sendiri wajar meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini
bukannya isu kecil dan Najib perlu menentukan tindakan terhadap Taib
dilaksanakan. Isu Taib ini sudah terlalu banyak dan tidak boleh di bendung
lagi. Kerajaan negara ini tidak boleh ditadbir seperti mentadbir persatuan
sepak takraw Pekan, Pahang.
Negara ini negara berdaulat dan
pencerobohan terhadap khazanah negara dan rakyat itu adalah satu pembelotan dan
pengkhianatan terhadap negara dan kita boleh takrifkan sebagai memerangi Yang
Di-Pertuan Agong. Ia lebih bahaya daripada pengganas yang telah memasuki
persempadanan kita di Lahat Datu dan Semporna lima minggu yang lepas. Pencerobohan
pengganas asing boleh diselesaikan dengan tindakan peperangan dengan pasukan
keselamatan kita, tetapi dalam isu rasuah ia memerlukan ‘political will’ yang
sungguh-sungguh untuk menyelesaikannya.
Seperti yang sudah lama dirasai
umum, keadaan dan perlakuan seperti Taib ini sudah menjadi budaya pemerintah
bukan sahaja di Sarawak tetapi juga di
negeri-negeri lain dalam Persekutuan ini. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah
di‘institutionalized’ kan
dan membudayakan rasuah ini sudah tidak menjadi kesalahan lagi.
Inilah saat bagi kita melihat setakat
mana kemampuan Najib sebagai pemimpin yang memegang amanah rakyat. Najib
mempunyai satu piihan sahaja, iaitu untuk melakukan sesuatu bagi Taib
meletakkan jawatan dalam kadar yang serta merta. Seandainya Najib tidak berani
melakukannya maka Najib pulalah yang terpaksa meletakkan jawatan serta merta.
Najib mesti menerima ‘accountability’ kepimpinan sebuah negara demokrasi ini.
Jika kita mendengar rakyat ramai
bercakap, mereka tidak yakin boleh memaksa atau memberitahu Taib yang beliau
(Taib) tidak boleh lagi mengetuai pilihanraya umum Sarawak nanti dan beliau
(Taib) wajar menyelesaikan isu moral beliau yang sangat besar ini serta merta.
Rakyat sudah tidak tertahan lagi melihat pimpinan BN terlibat dalam isu rasuah
yang tidak kunjung padam ini.
Tetapi pandangan dan persepsi
rakyat terhadap kekurang-mampuan Najib menyelesaikan isu ini mungkin banyak
kebenarannya. Isu Najib seperti pimpinan Sarawak
itu juga banyak yang sedang dipersoalkan oleh rakyat. Bagaimana Najib hendak
memberitahu Taib untuk berhenti kerana isu rasuah sedangkan Najib sendiri
sedang berperang menghadapi isu yang sama terhadap beliau.
Najib juga dikaitkan dengan
pembelian Scorpene yang sangat besar isunya. Najib sendiri mempunyai rangkaian
masalah sendiri. Takut-takut jika Najib menasihati Taib supaya berhenti, Taib
akan memberikan ‘middle finger’ beliau terhadap Najib. Bukan mudah untuk
meminta Najib menasihati Taib untuk berhenti. Itu sebabnya saya selalu menulis
dalam blog ini yang hanya rakyat sahaja yang mampu untuk memberhentikan semua
pimpinan BN yang sama seperti Taib dan Najib itu.
Jika Najib mengundurkan diri
siapa yang agak ‘viable’ untuk menggantikan beliau kerana jika diikutkan cara
pengambil-alihan jawatan Perdana Menteri yang bersara ia selalunya diambil
alih oleh Timbalannya, yang sekarang iaitu Muhyiddin Yassin. Jika Muhyiddin
Yassin dikehendaki mengambil alih kepimpinan Najib, Muhyiddin akan melompat
kegirangan kerana boleh menjadi Perdana Menteri.
Tetapi pula Muhyiddin adalah
pemimpin yang datang dari acuan yang sama, maka beliau tidak akan ada perbezaan
dan kelainan dengan Najib dan masalah yang sama akan berlarutan. Stigma buruk
terhadap semua kepimpinan UMNO dan BN itu adalah menyeluruh dan hanya
segelintiran pemimpin sahaja yang terlepas dari dihinggapi oleh stigma yang
sama itu.
Tiada siapa dalam kabinet Persekutuan sekarang yang tidak sama dengan Najib dan Muhyiddin itu lebih-lebih lagi dengan Taib Mahmud. BN dan rasuah 'berpisah tiada', saling menyandar di antara satu dengan lain. Ia ibarat aur dengan tebing. Tiada BN kurang rasuah, tiada rasuah BN tidak akan kekal.
Tiada siapa dalam kabinet Persekutuan sekarang yang tidak sama dengan Najib dan Muhyiddin itu lebih-lebih lagi dengan Taib Mahmud. BN dan rasuah 'berpisah tiada', saling menyandar di antara satu dengan lain. Ia ibarat aur dengan tebing. Tiada BN kurang rasuah, tiada rasuah BN tidak akan kekal.
Sekarang ini kita perlu
memerhatikan apa yang bakal berlaku dan bagaimana pucuk pimpinan negara
menyelesaikan masalah yang gila ini. Kita tunggu…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan