HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mac 2013

Soal siasat Sivarasa: Polis didesak henti ganggu pemimpin Pakatan

Oleh Aliff Fikri

PETALING JAYA : KEADILAN menggesa polis berhenti menyoal siasat dan menganggu pemimpin Pakatan Rakyat dengan perkara yang tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Ahli Biro Politiknya, Sivarasa Rasiah berkata demikian berhubung siasatan polis ke atasnya kerana membangkitkan isu kematian pemuda Chang Chin Te yang mati semasa dalam tahanan di Balai Polis Subang Jaya, Januari lalu.

Sivarasa

Sivarasa hadir memberi keterangan di Balai Polis Tropicana, berhampiran Ibu Pejabat KEADILAN pagi tadi bagi siasatan berhubung kesalahan fitnah jenayah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Beliau disiasat susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Ketua Polis Subang Jaya, ACP Ramli Yahya.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo turut dipanggil untuk disoal siasat minggu lalu.

Sivarasa berkata, soal siasat itu merupakan pembaziran masa kerana skop tugas polis adalah mencegah jenayah, bukan menjejak Ahli Parlimen Pakatan.

“Membazir tenaga dan membuang masa. Saya kesal apabila polis terutamanya pegawai kanan diarahkan untuk melakukan gangguan yang tidak sepatutnya kepada Ahli Parlimen Pakatan yang mewakili rakyat dalam beberapa isu di kawasan mereka.

“Saya desak Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk memastikan supaya sumber polis tidak disalahguna untuk tujuan seperti ini.

“Mana-mana polis termasuk Ketua Polis Daerah, Ketua Polis Negeri atau pegawai-pegawainya yang melakukan gangguan sebegini sepatutnya dikenakan tindakan,” kata Ahli Parlimen Subang itu pada sidang media tengahari tadi selepas disoal siasat.

Chin Te ditahan polis kira-kira 10 Januari lalu. Beliau dilaporkan mati dalam lokap selang empat hari kemudian.

Isteri beliau, Lim Wei Ni dilaporkan melihat lebam pada muka dan badannya dalam bilik mayat.
Apabila beliau mengambil gambar mangsa, polis dan kakitangan hospital mengarahkan supaya gambar tersebut dipadamkan.

Sivarasa dan Gobind kemudiannya menghantar memorandum untuk membantu keluarga mangsa agar bedah siasat kedua dilakukan.

Memorandum tersebut diserahkan di Bukit Aman setelah Ketua Polis Subang Jaya menolak permintaan mereka untuk mendapat kebenaran bertulis agar bedah siasat kedua dilakukan.

Mengulas lanjut, Sivarasa menegaskan, polis seharusnya menumpukan pada isu jenayah yang lebih serius dalam negara.

“Contoh yang sangat baik adalah pendedahan peguam mendiang P Balasubramaniam, Americk Sidhu yang menyatakan Tan Sri Cecil Abraham telah mengesahkan bahawa akuan bersumpah kedua (SD2) dilakukan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mengapa polis berdiam diri? Kes ini sepatutnya dikerahkan supaya dibuka semula siasatan kerana ia merupakan bukti baru.

“Bagaimana Tan Sri Ismail boleh nyatakan tidak mahu siasat sebab tidak ada bukti baru, sedangkan terang-terang ini adalah bukti baru. Sepatutnya beliau perlu masuk sekolah undang-undang kerana tak faham terma ‘bukti baru’ itu sendiri,” sinis Sivarasa. – NS

Tiada ulasan: