HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Mei 2013

Anwar cuba reda kebimbangan pengundi

 


 
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelajah Perak dalam pusingan keduanya di negeri ini dengan mesej untuk meredakan kebimbangan pengundi susulan peningkatan kejadian keganasan politik yang dikesan di peringkat akhir kempen ini.

Dalam ucapannya di satu majlis bersama kira-kira 500 hadirin di Tapah, semalam, Anwar turut membangkitkan mengenai peranan Majlis Keselamatan Pakatan yang menurutnya turut mendapat sokongan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

"Saya menyeru beri kemenangan kepada Pakatan. Kita boleh menang. Tan Sri Musa Hassan pun akan beri nasihat (keselamatan) kepada kita.

NONE"Jadi jangan takut, pangkah sahaja PKR, DAP, PAS," katanya yang disambut dengan sorakan daripada hadirin yang rata-ratanya dari kaum India serta masyarakat Orang Asli.

Turut hadir dalam ceramah di Tapah ialah  balu kepada bekas penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam, A Santamil Selvi serta calon bagi kawasan DUN dan Parlimen Tapah.

Dalam ucapannya itu, Anwar secara berseloroh juga cuba menunjukkan bahawa beliau mampu menjamin keselamatan warga berkenaan seperti watak 'Sivaji' dalam filem bahasa Tamil popular, Sivaji The Boss.

Dengan merujuk kepada pengalamannya ketika meringkuk di penjara bekas perdana menteri itu berkata menjadi kebiasaan untuk seseorang hero untuk dihumbankan masuk ke dalam penjara terlebih dahulu.

"Itu filem Sivaji The Boss saya suka. Saya hero. Mana ada hero Tamil yang tak masuk penjara dulu? Semua hero akan masuk penjara dulu baru jadi hero," katanya yang menerima tepukan gemuruh hadirin.

NONEKenyataannya itu dilihat sebagai usaha untuk menangkis dakwaan dalam media arus perdana yang cuba menggambarkan Pakatan sebagai parti yang tidak mampu menjamin kedaulatan negara sekiranya berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Antaranya, laporan akhbar Berita Harian hari ini yang menyebut, pembangkang tidak mampu menjamin perkara itu kerana pertelanggahan sesama parti.

Dalam laporan lain, akhbar itu turut melaporkan, pihak polis kini menerima maklumat ada pihak tidak bertanggungjawab yang akan sengaja mengambil tindakan terdesak dan di luar jangkaan bagi menimbulkan kekecohan menjelang hari mengundi Ahad ini.

Dalam berdepan dengan isu berkenaan, Anwar bagaimanapun tetap menasihatkan pengundi berkenaan agar memilih calon Pakatan walau mereka menerima buah tangan dari BN.

"Dia bagi BR1M ke, beras, gula ambil. Tapi pangkah PKR, DAP, PAS. Dia ingat orang bodoh? Pilihan raya ini soal kita. Nak teruskan nasib macam ini atau ubah? Inilah kali pertama ada peluang dalam 55 tahun untuk ubah.

Dalam ucapan di lokasi seterusnya, di Sungkai, Anwar mengulangi janji Pakatan sekiranya gabungan parti itu berjaya menawan Putrajaya – termasuk menurunkan harga minyak dan memberi bantuan kepada semua sekolah di negara ini.

"Kita akan buat bulan ini juga. Bulan Mei. Kalau kita menang kita akan turunkan harga minyak dan akhir Mei Pakatan Rakyat akan umum semua sekolah akan diberi bantuan penuh oleh kerajaa," katanya lagi di acara yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 orang itu.

Tiada ulasan: