Penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago mendakwa berlaku kejadian membeli undi di kawasan Pandamaran.

Beliau mendakwa bahawa antara jam 9 pagi hingga 10 pagi semalam, sebuah treler berhenti di kawasan itu dan mengedarkan beras dalam beg biru 1Malaysia yang jelas memaparkan tanda 'x' di sebelah logo BN.

Dalam satu kenyataan, Santiago mendakwa perbuatan tersebut telah memperolok-olokkan ikrar integriti penyandang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang ditandatangani dengan Transparency International Malaysia, di mana ia antara lain, termasuk ikrar tiada wang atau barangan akan digunakan untuk memancing undi semasa tempoh pilihan raya.

"Saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan sesuatu kerana ini adalah perbuatan membeli undi dengan memberikan beras," katanya yang menyertakan beberapa gambar yang didakwa diambil di tempat kejadian.