HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Mei 2013

Calon, bekas calon anggap kempen berjaya

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN, NIZAM ZAIN & JAMILAH HAMZAH

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
 
SHAH ALAM - Perubahan paling ketara yang dapat dirasakan oleh calon yang juga Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berbanding pilihan raya lalu, ialah sokongan membuak-buak golongan muda terhadap Pakatan Rakyat (PR).

"Kalau kita lihat sebelum ini PRU 2008, tidak banyak golongan muda, tapi kali ini mereka turut sekali menghasilkan idea kreatif dalam mencipta suasana kempen lebih meriah.

"Begitu juga dengan golongan Tionghoa sebelum pukul 10 malam sudah balik, kali ini kita nampak mereka turut hadir sama dan menunggu sehingga lewat malam sehingga selesai ceramah," ujar beliau kepada Sinar Harian Online.

Tuan Ibrahim merupakan calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau, Pahang. 
Ujarnya, sambutan kempen PR juga boleh dianggap luar biasa di samping tiada insiden provokasi melampau yang berlaku.

Beliau turut yakin hasil kajian yang dikongsi oleh beberapa kumpulan pakar berkaitan analisis awal PRU13 ada kebenarannya.

"Memang margin tak besar di antara kita dan BN," katanya.
Sementara itu, bagi bekas Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, PRU13 menyaksikan peningkatan sokongan di kalangan akar umbi yang begitu positif.

"Begitu juga dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut bersama menjelajah seluruh negera dan menepati janjinya," katanya.

Malah menurut beliau, pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengutamakan kepentingan rakyat, membuahkan satu lagi peluang kepada BN untuk terus mentadbirnegara.

"Belum menang Najib telah tunai janji tidak seperti 'sebelah sana'," katanya.

Bagi bekas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne pula, pendekatan PR pada PRU13 ini lebih mesra rakyat dengan manifestonya yang begitu menyeluruh dan menyentuh jiwa rakyat.

"Sepanjang kempen yang berlangsung, saya lihat mesej PR untuk ketengahkan isu manifesto telah sampai kepada rakyat.

"Manifesto ini juga telah lama diterangkan dan disampaikan kepada rakyat, manifesto BN juga ada persamaan dengan kita.

"Jadi kempen ini, telah memberi kefahaman kepada rakyat untuk mereka memilih kerajaan yang lebih baik," uajr beliau.

Tiada ulasan: