Editor BULETIN
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu diingatkan agar menghentikan segera amalan pemberian atau tender projek kepada kontraktor-kontraktor kroni dan 'suku sakat'.
Kerabat Diraja Terengganu, Tengku Sri Paduka Tengku Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasaruddin Shah berkata persoalan keruntuhan binaan bangunan di negeri Terengganu dapat dikurang dan dibendung, jika proses pemberian tender projek tersebut dilakukan dengan bersih, adil dan telus.
Beliau menegaskan, beban permasalahan tersebut tidak wajar sepenuhnya diletakkan kepada satu pihak, tindakan kerajaan mengecam tindakan kerajaan Umno-BN yang menjadikan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai 'kambing hitam'.
“Jika proses pemberian tender ini dilakukan dengan bersih, adil dan telus tanpa unsur-unsur rasuah dan tidak diberi kepada syarikat-syarikat kroni. Maka, persoalan keruntuhan (bangunan) ini dapat dikurang atau dapat dibendung.
“Ia bermula dari cara tertentu seperti tawaran (tender) yang telus untuk menentukan pemberian projek itu mengikut kemampuan mereka yang membuat tawaran.
“Saya tidak setuju dibebankan sepenuhnya kepada pihak JKR, apabila ada projek-projek yang menerima ‘ajal’ (keruntuhan) di negeri Terengganu ini,” jelasnya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Beliau yang juga Penaung Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) berkata, peringatan tersebut bagi mengurang dan membendung dari permasalahan kegagalan projek atau berterusan berlakunya tragedi ‘keruntuhan’ bangunan di negeri ini.
Malah, kata Tengku Ibrahim, meski pun terdapat projek-projek yang diberi secara tender tetapi ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mengarahkan projek berkenaan diberi kepada kontraktor kroni.
“Ini (amalan kroni) mesti dihentikan. Ada kalanya walau pun projek-projek ini diberikan melalui tender tetapi ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang dating dari pihak atasan mengarahkan projek-projek ini diberi kepada kontraktor kroni.
“Hentikan kerja-kerja yang tidak bermaruah ini, yang mana kontraktor yang dipilih melalui proses tender diketepikan di atas arahan pihak atasan yang mahu projek-projek ini diberi kepada syarikat-syarikat kroni.
“Saya boleh buktikan beberapa kes yang melibatkan pemberian tender secara tidak bermoral ini, jika diperlukan oleh pihak kerajaan,” tegasnya.
Ketika diminta mengulas tragedi anjung sebuah masjid di Kampung Binjai Kertas dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Berang yang runtuh pada 20 Mei lalu, beliau turut melahirkan rasa dukacita dan terkilan.
“Saya rasa sangat dukacita, sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku terhadap sebuah masjid. Selalu kita (rakyat) dengar masjid runtuh, bangunan runtuh, dewan runtuh dan stadium pun runtuh disebabkan faktor-faktor yang belum diketahui.
“Satu perkara yang amat penting yang belum lagi disentuh oleh kerajaan adalah dari segi implementasi projek-projek runtuh ini,” ujarnya.
Harakah dimaklumkan, Masjid Binjai Kertas yang runtuh itu siap digunakan pada tahun 2008 dengan kos RM1.7 juta dan kerugian akibat tragedi keruntuhan tersebut dianggarkan sebanyak RM100,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan