HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Mei 2013

Kempen terakhir sasar pengundi dalam dilema

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN, NIZAM ZAIN & JAMILAH HAMZAH

SHAH ALAM - Semua parti politik perlu 'zero' kesalahan pada saat ini jika tidak mahu impian mereka musnah! Demikian peringatan oleh pemerhati politik, Dr Jeniri Amir ketika persaingan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) "amat-amat sengit".

"Kini mereka perlu berhati-hati dan tak boleh buat pengundi marah. (Seramai) 97 peratus pengundi sudah buat keputusan setakat ini," ujar beliau kepada Sinar Harian Online.

"Persaingan amat-amat sengit sekarang," tambahnya lagi.Rata-rata mereka yang sudah membuat keputusan ini katanya adalah mereka yang partisan sementara selebihnya masih dalam dilema.

"Mereka yang sudah buat keputusan ini kerana dipengaruhi selepas penamaan calon dan kempen. "Mereka terpengaruh dengan calon dan isu yang dibawa," ujarnya.

Berdasarkan pemerhatiannya, BN mempunyai sedikit kelebihan memandangkan ia kerajaan penyandang. "BN mempunyai kelebihan dari segi  sumber, jentera dan sebagainya. "Tetapi setakat ini, 80 peratus pengundi Cina sudah membuat keputusan menyokong PR," ujar beliau.

Tiga negeri katanya, menjadi pengimbang kepada kemenangan BN iaitu Johor, Sabah dan Sarawak. "Sebab itulah kedua-dua parti menumpukan kempen di tiga negeri ini termasuk dengan meletakkan Lim Kit Siang di Johor," ujar beliau.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan kedua-dua parti utama mempunyai strategi yang terancang berbanding 2008.

"Semua (parti politik) lebih hebat, BN lebih bersedia, pembangkang pun tersusun antara ketiga-tiga parti berbanding 2008.

"Persaingan cukup sengit, mereka belajar dari kelemahan masing pada masa lepas, masing-masing ingin ke Putrajaya, satu pihak mahu kekal di Putrajaya, satu mahu tawan Putrajaya," ujar beliau.

Beberapa kajian menjelang PRU13 menzahirkan dapatan bahawa persaingan kedua-dua parti ini amat sengit. Kajian luar dari UMR Research, Sydney menunjukkan BN hanya berada di hadapan dengan kelebihan satu peratus sahaja berbanding PR di minggu akhir kempen.

Kajian terbaru Merdeka Center meletakkan PR mempunyai sedikit kelebihan dan berada di depan.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, PR dilihat menguasai 89 kerusi sekarang berbanding 85 bagi BN.

Bagi Ketua Kluster Politik, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak pula, ini tempoh masa yang penting kepada parti-parti politik meraih undi terutama kepada calon baru.

"Setakat ini pengundi sudah ada gambaran siapa nak pilih. Dan masa ini juga parti-parti akan buat rayuan terakhir sama ada boleh berlaku peralihan undi atau tidak, harap boleh menang dan tingkatkan jumlah undi," ujar beliau.

Tiada ulasan: