![]() |
Oleh AMNI JAGAT
BAHANG PRU13 masih belum reda. Segalanya sudah terjawab dengan keputusan yang nyata di atas kertas bertulis, Putrajaya berjaya dikekalkan oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti mudah.
Namun segalanya bukan sebuah kepuasan bagi manusia yang menginginkan sesuatu seperti Najib Tun Razak. Matlamat yang ingin dicapainya tidak berjaya dilaksanakan dalam PRU13 yang baru sahaja berlalu.
Seperti digemburkan dalam hebahan di media massa dan media cetak, Najib boleh dilihat dengan bermatlamat pada empat agenda penting dalam perjuangannya kali ini.
Tetapi setelah PRU13 berlangsung segala agenda tersebut tidak berhasil.
Agenda pertama Najib adalah untuk mendapatkan negeri Selangor.
Agenda ini dilihat tidak tercapai malah keadaan menjadi lebih teruk apabila Pakatan Rakyat berjaya menambah mandat dua pertiga kerusi di negeri tersebut.
Agenda kedua dalam PRU kali ini adalah untuk merampas kembali negeri yang telah ditadbir sekian lama oleh PAS dan Pakatan yakni negeri Kelantan juga tidak berjaya mendatangkan hasil yang baik kepada Najib malah nasibnya sama dengan nasib di negeri Selangor.
Agenda seterusnya adalah untuk memujuk hati masyarakat Tionghoa untuk bersama-sama dengan matlamat yang dirancangkannya juga dapat dipastikan sekali lagi tidak berjaya dengan sokongan masyarakat itu bangkit menolak kepimpinan Najib dan BN.
Agenda keempat walaupun BN berjaya mendapat mandat semula di negeri Kedah namun hakikat yang terpaksa ditempuhi oleh Najib adalah kegagalannya untuk mendapatkan semula mandat dua pertiga kerusi di Parlimen.
Dari empat agenda ini dapatlah dirumuskan bahawasanya Najib serta jentera BN tidak berjaya dalam mencapai matlamat sebenar PRU13 kali ini. Ini bermakna secara moralnya BN sebenarnya tewas.
Dalam setiap pertandingan, matlamat harus memainkan peranan yang paling penting. Dari matlamatlah maka lahirnya faktor strategi, penyusunan, percaturan, perancangan serta kesungguhan.
Andai suatu matlamat itu tidak berhasil, maka semua faktor itu sebenarnya jika ditafsirkan tidak berfungsi dengan baik. Andai segala agenda yang selama ini disusun gagal, maka Najib sebenarnya harus berhadapan dengan risiko yang lebih besar dalam pentadbirannya. Contoh yang dapat digambarkan adalah negeri Selangor yang terlalu diidamkan oleh Najib.
Negeri Selangor adalah negeri yang kaya dan ia adalah negeri yang menyumbang hasil paling lumayan bagi kerajaan negeri pusat.
Sebelum ini isu berkenaan dengan air Selangor serta slogan ‘Sayangi Selangor, Yakini BN’ ternyata tidak merubah hati pengundi di negeri tersebut yang lebih maklum mengetahui hakikat di negeri mereka.
Akhirnya setelah keputusan PRU13 diumumkan, Najib sebenarnya sudah hilang kekuatan kewangan untuk berhadapan dengan pentadbiran yang mencabar di pusat. Apatah lagi kali ini Selangor yang ditadbir Pakatan mendapat mandat dua pertiga kerusi di sana.
Di Kelantan pula program ‘Gelombang Merah’ yang telah dijalankan ternyata tidak berjaya mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk atau pengundi di sana. Malah negeri yang banyak hasil bumi seperti minyak itu sekali lagi menolak kepimpinan BN dengan memberi mandat dua pertiga bagi kerusi Dun di sana.
Menyemak ‘Belanjawan 2013’ yang dibentang Oktober lalu pula, Najib telah berusaha memberikan segala khidmat untuk memikat hati masyarakat Tionghoa.
Ternyata hajat serta matlamat itu tidak langsung memberi buah hasil yang baik di mana hampir 80 peratus pengundi Tionghua seluruh Malaysia menolak kepimpinan Najib dan BN.
Di Parlimen pula, bukan setakat Najib dan BN tidak mendapat mandat dua pertiga kerusi Parlimen, malah yang lebih malang lagi apabila kerusi yang dimenangi oleh BN lebih menurun berbanding PRU12 pada tahun 2008.
Berdasarkan perkara-perkara di atas dapatlah dirumuskan sekali lagi yang sebenarnya kepimpinan Najib dan BN dilihat semakin goyah dan pincang. Ini bermakna penolakan terhadap kepimpinan BN bukanlah berdasarkan faktor siapa Perdana Menteri Malaysia seperti yang sebelum ini diuaruarkan.
Siapa saja yang menjadi Perdana Menteri selagi ia dari parti komponen BN, pasti akan ditolak oleh rakyat keseluruhannya. Penolakan ini juga jelas jika dilihat dari segi faktor figura pemimpin BN negeri.
Kebanyakkan Menteri Besar dan Ketua Menteri di kalangan parti Umno ditolak oleh rakyat.
Di Johor bekas Menteri Besarnya ditolak, di Melaka bekas Ketua Menteri juga ditolak termasuklah di Perlis yang mana bekas Menteri Besarnya tidak berani dicalonkan.
Berbeza dengan Menteri Besar daripada Pakatan yang terus menerus diterima oleh rakyat di Dun serta Parlimen yang ditandingi mereka. Ini jelas membuktikan kepimpinan yang ditonjolkan oleh Pakatan ebih mesra rakyat berbanding dengan kepimpinan yang ditonjolkan oleh BN.
Sememangnya ini adalah perkara yang perlu dihadapi oleh Najib serta BN keseluruhannya.
Kesan yang akan dihadapi oleh Najib adalah berkenaan dengan soal kepimpinannya yang pasti akan dipertikaikan baik daripada dalaman Umno sendiri mahu pun di mata rakyat Malaysia

Tiada ulasan:
Catat Ulasan