Oleh Aisha Geofrey
PETALING JAYA : Penahanan blogger pro Pakatan Rakyat, Milo Suam
adalah cubaan polis untuk menyekat beliau dari terus mendedahkan
maklumat sehingga tamat pilihan raya, kata Ahli Biro Politik KEADILAN, R
Sivarasa.
Milo Suam atau nama sebenarnya Yusuf Al-Siddique ditahan pada 1 Mei
lalu di bawah Akta Rahsia Rasmi (1972) kerana mendedahkan dokumen sulit
milik polis berhubung maklumat wujud pencetus huru-hara pada 5 Mei
nanti.
Melalui maklumat dalam dokumen tersebut, Milo Suam mendedahkan
seramai 1,400 pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah akan
membuat huru-hara pada hari mengundi.
“Kita mempersoal apa motif penahanan itu sedangkan Milo Suam ada
menyebut bahawa dokumen dalam bentuk emel berantai itu belum disahihkan
kebenarannya kerana ramai pihak turut menerimanya,” kata Sivarasa pada
sidang media hari ini.
“Beliau (Milo Suam) juga ada menasihatkan orang ramai yang menerima
e-mel itu supaya membuat pertimbangan wajar kerana ia belum disahkan
benar, tetapi dengan penahanan ini, ia seolah-olah mengesahkan kebenaran
maklumat dalam dokumen tersebut,” katanya lagi.
Menurut Sivarasa, punca utama penahanan itu tidak kukuh untuk
membolehkan Milo Suam ditahan, justeru beliau menyifatkan penahanan itu
bermotif politik demi menyekat kebebasan blogger pro Pakatan.
“Kita amat terkejut macam mana tulisan itu dijadikan alasan kukuh
untuk tahan seorang blogger. Umum tahu dia menyokong Pakatan dan
berpengaruh di kalangan blogger, jadi kita sifatkan penahanan ini
berniat jahat,” tegasnya.
“Milo Suam sepatutnya direman sehingga hari ini, tetapi tadi kita
dimaklumkan kononnya ada laporan lain terhadap beliau. Oleh itu beliau
akan terus ditahan lagi, jelas sekali ada motif politik di situ,”
jelasnya.
Beliau turut membidas penahanan mangsa di bawah OSA sebagai ugutan kepada kebebasan media.
“Bila Pakatan ke Putrajaya, kita akan mansuhkan Akta Rahsia Rasmi, dan digantikan dengan Akta Kebebasan Maklumat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan